Ahad, 13 Disember 2009

Dari Kamar 1215 Hotel Goldcoursa Klang



Lewat petang 9hb Disember 2009, sekali lagi aku menjejak kaki ke lobi Hotel Goldcouse yang terpacak di tepian sungai Klang. Entah untuk kali yang ke berapa, tapi seingat aku dari seawal tahun 2003 lagi. Bagaikan sudah menjadi acara tahunan sejak dari tahun 2003, di akhir tahun begini kami berkumpul untuk melaksanakan suatu tanggungjawab yang penting sebagai keluarga pendidik.

Dari tingkap kaca bilik bernombor 1215, aku dapat melihat sepemandangn mata bandar diraja Kelang yang sesak dengan hutan batu. Deretan kenderaan bertali arus memenuhi jalaran jalanraya. Sungai Kelang mengalir perlahan di celahan kesibukan bandar ini bagaikan seekor ular raksasa yang malas bergerak. Seikhlas aku mengaku, aku tidak pernah menyukai tempat ini, biar pun saban tahun aku menjadi tetamunya. Cuma kali ini ku lihat bandar ini sedikit berseri dengan siapnya Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak hanya sepelarian dari hotel penginapanku. Masjid yang sememangnya indah, sebahagian daripada binaannya mengunjur ke sungai Klang. Bagaikan seorang gadis sedang bertenggek di tebing sungai sambil menjulurkan kakinya ke dalam air.

Memang gembira bila dapat bersua dengan rakan-rakan sekumpulan sekali setahun seperti ini. Dapatlah bertanya khabar tentang apa jua perkembangan selama setahun berlalu. Walau pun kerja-kerja di sini agak memenatkan, namun celoteh dan derai tawa rakan-rakan sekumpulan menyebabkan aku lupa tentang kepenatan.


Dari tingkap kaca ini aku melempar pandangan ke serata arah, sejauh yang mungkin. Adakalanya bila sendirian di kamar begini, kesepian terasa. Lalu ingatan mula datang bertindih terhadap apa yang ditinggalkan nun jauh di sana. Terutamanya terhadap puteri kecilku 'Adik Ba Sayang' lantaran celotehnya yang sentiasa terngiang di telingaku. 'Anak-anak itu adalah permata ayah bonda' aku akui ungkapan itu. Limpahan kasih buat mereka tanpa beza antara. Tanpa mereka tiada serinya hidup sebagai sebuah keluarga. Riuh jerit dan tangis mereka adalah lagu terindah buat kita.
Tidak terlindung dari bayangan mataku, anak-anak kesayangan dalam usrah imtiaz. Satu demi satu wajah-wajah yang ku sayangi hadir bersilih dalam layar ingatanku. Aku rasa sungguh kerdil tanpa mereka. Selama ini merekalah kekuatan bagiku dalam semua perkara. Kata orang tua-tua, satu itu mati, dua itu sakit, tapi tiga dan ramai itu hidup. Maka mereka adalah nyawa kehidupanku. Aku sedar aku tak nampak gagah tanpa mereka, aku tak akan hebat tanpa mereka. Sepertinya seberkas lidi yang tak mungkin dapat dipatahkan, tapi bila diasingkan, sebatang lidi itu terlalu rapuh dan dapat dipatahkan hanya dengan seputung jari. Selama ini aku tahu, yang hebat bukannya aku, yang hebat bukannya salah seorang di kalangan kami, tapi yang hebat sebenarnya adalah kumpulan kami.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...