Road To Ramadhan: Peristiwa Isra' & Mi'raj
Assalamualaikum wbt wht.
Semoga semua sahabat sekalian berada dalam keadaan sihat
hendaknya.
Sedar tak sedar, kita sudah berada di penghujung bulan
Rejab. Bagaimana berlalunya masa kita sepanjang sebulan ini? Bersama muhasabah
diri.
Apabila sampai akhir bulan Rejab khususnya hari 27 Rejab,
perkataan Isra’ dan Mi’raj akan terbit di bibir-bibir kita, para ustaz akan
dijemput untuk bercerita sedikit sebanyak mengenai peristiwa agung ini.
Alhamdulillah ini menunjukkan bahawa kita peka terhadap peristiwa ini.
Sebelum kita bercerita panjang mengenai peristiwa agung ini,
eloklah kita mengenali secara ringkas maksud Isra’ dan Mi’raj dari sudut
bahasa.
Perkataan
Isra’ dan Mi’raj mempunyai maksud yang berbeza. Perkataan Isra’ (
(الإسراءberasal dari
perkataan (سرى) yang membawa maksud berjalan malam. Perkataan (الإسراء) merupakan kata infinitif
bagi kata kerja (أسرى) yang juga membawa maksud
berjalan malam. Akan tetapi terdapat perbezaan antara dua kata kerja ini.
Perkataan (سرى) merupakan kata kerja tak transitif manakala perkataan (أسرى) merupakan kata kerja
transitif.
Manakala
perkataan (المعراج) pula berasal dari
perkataan (عرج) yang membawa maksud naik. Perkataan (المعراج ) merupakan kata nama alat bagi perkataan (عرج) yang membawa maksud alat yang digunakan untuk naik iaitu tangga
(السلّم).
Manakala
dari segi istilah, Isra’ ialah perjalanan Nabi SAW pada waktu malam dari
Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestine dengan
menaiki binatang yang dikenali sebagai Buraq. Mi’raj pula bermaksud perjalanan
naik Nabi SAW ke langit dengan menggunakan dengan menggunakan satu alat khusus
yang dipanggil mi’raj iaitu tangga.
Peristiwa
Isra’ dan Mi’raj merupakan dua peristiwa ghaib yang telah berlaku ke atas nabi
kita Muhammad SAW dengan izin Allah SWT sebagai
mana telah disebut dalam Al-Quran dan hadis SAW.
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada
malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin),
yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
Sabda
Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang sangat panjang dari Anas Bin Malik:
‘Jibril
membawakan kepadaku seekor ‘Buraq’ iaitu sejenis haiwan berwarna putih, lebih
panjang dari keldai dan lebih pendek daripada Baghal. Ia dapat melompat sejauh
saujana mata memandang. Aku tunggangi haiwan itu sampai ke Baitul Maqdis.
Sampai di sana haiwan itu kutambatkan di tambatan yang biasa digunakan para
nabi.
Kemudian
aku masuk ke dalam masjid dan solat di situ dua rakaat. Setelah aku keluar,
Jibril datang membawa dua buah bejana, yang satu berisi khamar (arak) dan yang
satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Kata Jibril ‘Anda memilih yang benar’.
Kemudian
kami di bawa ke langit. Lalu Jibril minta supaya
di bukakan pintu. Jibril ditanya ‘ Anda siapa?’ Sahut Jibril ‘Aku Jibril’.
Tanya: ‘Siapa bersama anda?’ Jawab: ‘Muhammad’. Tanya: ‘Sudah diutuskan dia
(menjadi rasul)?’ Jawab: ‘Ya, benar, dia sudah diutus!’. Setelah itu baru pintu
di bukakan untuk kami. Tiba-tiba kami berjumpa Adam. Beliau mengucapkan
‘Selamat datang’ kepadaku serta mendoakan semoga beroleh kebaikan.
Kemudian kami naik ke langit kedua. Jibril AS meminta
dibukakan pintu. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril
menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad’. Tanya:
‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Setelah itu baru
pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba kami bertemu dengan dua orang anak dan
pakcik, iaitu Isa anak Maryam dan Yahya bin Zakaria alaihimassalam. Keduanya
mengucapkan selamat datang kepadaku., serta mendoakan semoga aku beroleh
kebaikan.
Kemudian aku dibawa ke langit ketiga. Jibril
meminta pula dibukakan pintu. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab:
‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya:
‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Lalu pintu di
bukakan bagi kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Yusuf AS yang kecantikannya
seperdua dari seluruh kecantikan yang ada. Dia mengucapkan selamat datang
kepadaku, dan mendoakan semoga aku beroleh kebaikan.
Sesudah
itu kami di bawa ke langit keempat. Jibril AS meminta supaya dibukakan pula. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya:
‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah
diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Setelah itu barulah pintu di bukakan
untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu Idris AS. Dia mengucapkan selamat datang
kepadaku, serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan. Firman Allah swt:
‘Kami yang naikkan dia (Idris) ke tempat yang tinggi.’ -surah Maryam ayat 57.
Kemudian
kami naik ke langit kelima. Jibril AS
meminta supaya dibukakan pula. Lalu dia ditanya: ‘Siapa
anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab:
‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah
diutus.’ Setelah itu pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan
Harun AS. Dia mengucapkan selamat kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat
kebaikan.
Kemudian kami naik ke langit keenam. Lalu
Jibril minta supaya dibukakan pintu. dia ditanya: ‘Siapakah anda?’ Jibril
menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad ‘. Tanya: ‘Apakah
dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Sesudah itu barulah pintu di
bukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu Musa as. Dia mengucapkan selamat
datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan.
Kemudian
kami naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan pula pintu. Dia ditanya:
‘Siapakah anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’.
Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah
diutus.’ Sesudah itu, lalu pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu
Ibrahim as sedang bersandar ke Baitul Makmur, di mana 70000 malaikat setiap
hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ.
Kemudian
Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, mendapatkan sebatang pohon yang daunnya
seperti telinga gajah, dan buahnya sebesar kendi. Setiap kali ia tertutup
dengan kehendak Allah SWT, ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah
yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah SWT menurunkan wahyu
kepadaku, mewajibkan solat 50 kali sehari semalam.
Sesudah
itu aku turun ke tempat Musa AS. Musa bertanya :’Apa yang telah diwajibkan
Tuhanmu kepada umatmu?’ Jawabku: ‘Solat 50 kali’. Kata Musa: ‘Kembalilah kepada
Tuhanmu, mintalah keringanan, kerana umatmu tidak akan sanggup melakukannya.
Aku sendiri telah mencuba terhadap Bani Israil.’ Kata nabi SAW: ‘Aku kembali
kepada Tuhanku, lalu aku memohon: ‘Ya Tuhan, Berilah umatku keringanan.’ Maka
Allah menguranginya lima. Sesudah itu aku kembali kepada Musa. Kataku: ‘Allah
menguranginya lima’. Kata Musa: ‘Umatmu tidak akan sanggup menunaikannya
sebanyak itu. Kerana itu kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan.’
Kata Nabi SAW selanjutnya: ‘Aku jadi berulang-ulang pulang pergi antara Tuhanku
Tabaraka wa Taala dengan Musa, sehingga akhirnya Allah berfirman:
‘Kesimpulannya ialah solat lima kali sehari semalam.’ Bagi tiap-tiap satu kali
solat, sama nilainya dengan sepuluh solat. maka jumlah nilainya lima puluh
juga. Dan siapa yang bermaksud hendak berbuat kebajikan, tetapi tidak
dilaksanakannya, dituliskan untuknya (pahala) 1 kebajikan. Apabila
dilaksanakannya, maka ditulis baginya (pahala) 10 kebajikan. Dan siapa
bermaksud hendak berbuat kejahatan, tetapi tidak dilaksanakannya, tidak akan
ditulis apa-apa baginya. tetapi jika dilaksanakannya, maka di tulis baginya
balasan 1 kejahatan. Sesudah itu aku turun kembali ke tempat Musa AS. Lalu aku
menceritakan kepadanya apa yang difirmankan Tuhanku itu. Kata Musa: ‘Kembalilah
kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan.’ Jawab Rasulullah SAW: ‘Aku telah
berulang kali kembali kepada Tuhanku meminta keringanan, sehingga aku malu
kepada-Nya.’ (Muslim)
Dalam
hadis yang (Sahih Bukhari, Kitabul Tauhid) lain diceritakan bahawa Rasulullah
SAW didatangi oleh Jibril AS dan dibelah dada Baginda SAW untuk dicuci dengan
menggunakan air zam-zam. Setelah selesai Jibril AS membasuh dada Baginda SAW,
Baginda SAW meneruskan perjalanan –Isra’- ke Baitul Maqdis dengan menaiki
Buraq.
Terlalu
banyak hadis yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini. Kalau
pembaca semua tidak keberatan, bolehlah belek kitab Tafsir Ibnu Kathir. Dalam
kitab tersebut, Ibnu Kathir (meninggal pada 774h) menceritakan dengan panjang
lebar mengenai peristiwa ini dengan mendatangkan dalil-dalil dari Rasulullah
SAW. Untuk ayat pertama surah Al-Isra’, beliau telah menulis melebihi 60 muka
surat untuk menceritakan peristiwa agung ini.
Bilakah berlakunya Isra’
dan Mi’raj?
Para
ulama Islam telah berbeza pendapat berkenaan tarikh berlakunya peristiwa Isra’
& Mi’raj. Terdapat tiga pendapat berkenaan bila berlakunya peristiwa ini:
Pendapat
pertama: Pendapat yang paling banyak diberikan oleh ulama Islam iaitu setahun
sebelum berlakunya hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Akan tetapi, mereka semua
masih lagi berselisih pendapat walaupun telah menetapkan Isra’ dan Mi’raj
berlaku setahun sebelum hijrah. Antara mereka mengatakan Isra’ dan Mi’raj
berlaku sebulan sebelum hijrah, ada juga yang menyatakan dua bulan sebelum
hijrah, ada yang mengatakan lapan bulan sebelum hijrah dan ada juga yang
mengatakan sepuluh bulan sebelum hijrah. Manakala pendapat yang popular dalam
kalangan ahli-ahli sejarah ialah pada malam 27 Rejab sebagaimana popular dalam
kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Akan tetapi, para muhaddisin,
fuqoha’ dan para mufassirin tidak menyatakan bahawa peristiwa ini
berlaku dalam bulan Rejab secara jelas, sebaliknya mereka hanya menyatakan
bahawa ia berlaku setahun sebelum hijrah nabi.
Pendapat
kedua: berlaku tiga tahun sebelum hijrah.
Pendapat
ketiga: lima tahun sebelum hijrah.
Walau
sebanyak mana pun pendapat para ulama mengenai tarikh berlakunya Isra’ dan
Mi’raj, tugas kita ialah meyakini bahawa peristiwa agung yang melibatkan Rasulullah
SAW ini benar-benar berlaku sebagaimana yang tercatat dalam Al-Quran dan
hadis-hadis nabi SAW.
Adakah peristiwa ini
hanya berlaku sekali sahaja atau berulang-ulang?
Para
ulama telah berselisih pendapat tentang perkara ini:
Pendapat
pertama: Peristiwa ini hanya berlaku sekali sahaja.
Pendapat
kedua: Isra’ nabi dari Mekah ke Palestin berlaku dua kali manakala Mi’raj nabi
hanya berlaku sekali. Inilah pendapat yang dipilih oleh Al-hafiz Ibnu Hajar.
Pendapat
ketiga: Isra’ berulang sebanyak tiga
atau empat kali manakala Mi’raj hanya berlaku sekali. Antara ketiga-tiga
pendapat ini, pendapat pertama adalah yang aula (utama) untuk dipegang
berdasarkan ayat pertama Surah Isra’.
Satu persoalan lagi untuk ditimbulkan. Adakah
peristiwa ini berlaku di dalam mimpi Nabi SAW, atau berlaku ke atas jasad Nabi
SAW sahaja atau berlaku ke atas jasad dan roh Nabi SAW atau ke atas roh Nabi
SAW sahaja?
Para sahabat telah berselisih pendapat dalam
menetapkan perkara ini.
Pendapat
pertama : Ada dalam kalangan mereka yang menyatakan peristiwa ini hanya
berlaku pada roh Nabi SAW sahaja.
Pendapat
kedua : Berlaku ke atas jasad dan roh Nabi SAW. Inilah yang paling banyak
disepakati oleh Ahli Sunah.
Tiada
seorang pun daripada para sahabat yang menyatakan peristiwa Isra’ dan mi’raj
berlaku di dalam mimpi Nabi SAW.
Ada ke amalan khusus
untuk peristiwa Isra’ dan Mi’raj?
Kita
sedia maklum tidak ada sesuatu yang pasti dalam penentuan tarikh Isra’ dan
Mi’raj. Cumanya pendapat ini telah masyhur dan diketahui di kalangan umat Islam
semenjak kurun-kurun mereka memperingati Isra’ dan Mi’raj pada malam 27 Rejab.
Dalam keadaan tidak berlaku pada malam tersebut (pada ketika itu) sebarang
amalan atau ibadah. Malam Isra’ dan Mi’raj ini tidak disyariatkan untuk kita mengkhususkannya dengan bangun malam atau berpuasa pada siang harinya.
Telah
berkata Ibnu Qayyim Aljauziyyah (w.751H): “ Telah berkata Ibnu Taymiyyah (w.728H) : dan tidak
diketahui daripada kaum Muslimin yang menjadikan malam Isra’ kebaikan dari
selainnya, khususnya malam Al-Qadar, dan para sahabat dan para tabiin tidak
mengkhususkan untuk malam Isra’ dengan sesuatu perkara dan tidak menyebutnya,
dengan ini, tidak diketahui malamnya”.
Tidak
dituntut juga daripada seseorang muslim untuk melakukan apa-apa amalan yang
khusus untuk mendekatkan diri kepada Allah pada malam atau pada siang hari
tersebut. Kerana itu umat Islam dahulu tidak memberi tumpuan kepada malam Isra’
dan Mi’raj.
Persoalan menyambut hari Isra’dan Mi’raj, jika
ia dimaksudkan untuk mengambil pengajaran dari peristiwa yang agung ini dan
apa-apa kesannya dalam kehidupan Nabi SAW adalah tidak mengapa.
Perkara
ini penting untuk kita ambil pengajaran dan iktibar darinya, selama-mana tidak
timbul darinya sebarang amalan atau ibadat yang khusus. Jika demikian tidak ada
sebarang halangan untuk kita menyambut peristiwa ini. Menyambut sesuatu juga membawa
maksud mengambil berat dan memberi perhatian kepadanya, yakni perkara itu tidak
dilupakan dan tidak ditinggalkannya.
Maka
kita menyambut yakni mengambil berat tentang perkara Isra’ dan Mi’raj ini
terutama pada perkara yang penting iaitu berkaitan Masjid al-Aqsa, sebagai
tempat penghujung Isra’ dan permulaan Mi’raj. Isra’ tamat di masjid al-Aqsa dan
Mi’raj bermula di masjid al-Aqsa hingga naik ke langit yang tinggi.
Maka
kita perlu memerhatikan keadaan umat Islam pada masa sekarang di Masjid al-Aqsa
yang ditawan dalam genggaman Yahudi. Sedangkan manusia lalai dari perkara utama
ini, perkara yang paling utama nisbahnya bagi umat Islam pada masa kita
sekarang ialah persoalan Palestine, dan persoalan lain yang melibatkan
kekejaman orang-orang kafir terhadap umat Islam seperti di Syiria, Iraq, dan
sebagainya.
Pengajaran dari
peristiwa Isra’ & Mi’raj
Melalui
peristiwa agung ini, kita boleh fokuskan kepada dua perkara yang tersangat
penting iaitu: perkara yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa dan perkara kedua
ialah pensyariatan sembahyang lima waktu.
Sebagaimana
yang kita tahu, Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama kaum Muslimin sebelum
Allah SWT memerintahkan Nabi SAW memindahkan kiblat ke Masjidil Haram. Ini
menunjukkan hubungan yang erat antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa
sebagaimana disebut tentangnya di dalam ayat pertama Surah Al-Isra’.
Akan
tetapi, keadaan Masjidil Aqsa pada saat ini tidak seperti dahulu. Semuanya
dikawal ketat oleh Yahudi laknatullah. Umat Islam di sekitar Masjid Al-Aqsa
dihalang untuk beribadat di dalamnya terutamanya golongan muda. Selain itu,
umat Islam di sana ditindas oleh Zionis yang tidak berperikemanusiaan.
Oleh
itu, menjadi satu tuntutan kepada kita untuk menghalang gerakan dan kemaraan
Zionis dalam menjatuhkan Islam sama ada di bumi Palestine mahupun di dunia
amnya.
Pengajaran
yang kedua ialah pelaksanaan sembahyang lima waktu sehari semalam. Ia merupakan
tiang bagi agama yang tercinta ini dan merupakan perkara pertama yang dihisab
oleh Allah kelak. Tuntutan peri penting pelaksanaannya dapat dilihat melalui
cara Baginda SAW mendapat perintah kewajipan melaksanakannya iaitu secara terus
daripada Allah. Kepentingan solat tidak dapat disangkal lagi oleh setiap
muslim. Bahkan hari demi hari, para saintis menjumpai kelebihan ibadat solat
sama ada dari segi spritual mahupun fizikal.
Telah
jelas lagi bersuluh. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita seorang muslim yang
mukalaf untuk mempercayai peristiwa agung ini. Tidak hanya sekadar berkata-kata,
bahkan perlu diteguhkan kepercayaan di dalam hati tanpa sebarang syak dan rasa
sangsi.
Semoga
kita semua diteguhkan iman dalam meyakini segala perkara ghaib yang telah
diceritakan Allah SWT melalui Al-Quran mahupun melalui perantaraNya iaitu
Muhammad SAW.
Semoga
dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini
dan untuk terus beribadat kepadaNya. Wallahu A’lam.
0 comments: