Road To Ramadhan : Syaaban, Persediaan Menanti Ramadhan.
Assalamualaikum…..
Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah
SWT untuk meneruskan tugas kita di muka bumi ini sebagai khalifahNya. Perasaan
di hati semakin riang dan girang kerana bulan yang dinanti-nanti akan tiba
kurang sebulan lagi. Akan tetapi, untuk sampai ke bulan Ramadhan, kita perlu
menempuhi sebulan penuh Bulan Syaaban.
Begitulah lumrah hidup ini, untuk sampai
kepada sesuatu, perlu menempuhi sesuatu yang lain terlebih dahulu. Seseorang
perlu menempuhi alam kanak-kanaknya terlebih dahulu sebelum sampai ke alam
remaja dan alam seterusnya. Begitulah sunnatullah.
Firman Allah SWT:
سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ وَلَن
تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا
Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah"
(undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali
akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu. (Al-Ahzab:
62)
Sekarang kita berada di bulan Syaaban. InsyaAllah, dengan
izinNya, kita akan berbicara sedikit sebanyak mengenai bulan ini; asal namanya,
fadilat yang terkandung di dalamnya, amalan yang diutamakan oleh Rasulullah SAW
di dalamnya dan lain-lain lagi.
Kenapakah dinamakan
Bulan Syaaban?
قال الحافظ ابن حجر رحمه الله
تعالى: "وسمي
شعبان لتشعبهم في طلب المياه أو في الغارات بعد أن يخرج شهر رجب الحرام وهذا أولى من
الذي قبله".
Telah berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar : “ Dan dinamakan Syaaban
kerana mereka (orang arab) berpuak-puak dalam meminta air atau dalam peperangan
selepas berlalunya bulan Rejab Al-Haram, dan ini adalah lebih utama daripada
yang sebelumnya”.
(Fathul Bari : 213/4)
Kelebihan Bulan Syaaban
Setiap bulan yang kita lalui mempunyai kelebihannya yang
tersendiri. Disebut di dalam hadis-hadis Nabi SAW bahawa amalan
hamba-hamba Allah SWT akan diangkat
olehNya pada bulan ini. Sabda Rasulullah SAW:
عن أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ رضي الله عنهما قَال : "قُلْتُ
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ
شَعْبَانَ ؟ قَالَ : ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ
وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ
يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِم".
Dari Usamah bin Zaid ra berkata, “Aku
bertanya, ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam
bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah
bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan
Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian
alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”.
(riwayat An-Nasaie).
Hukum berpuasa di Bulan Syaaban
Di dalam entry yang lepas, kami telah
menyebut bahawa tidak dikhususkan sebarang puasa untuk Bulan Rejab. Sebaliknya di
bulan Syaaban, kita disunatkan memperbanyakkan puasa. Hal ini kerana nabi kita Muhammad SAW
memperbanyakkan puasa Baginda SAW apabila tiba bulan Syaaban. Hal demikian diceritakan di dalam hadis-hadis Baginda
SAW:
عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها قالت : مَا رَأَيْتُ
رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ
وَمَا رَأَيْتُهُ فِى شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَامًا فِي شَعْبَانَ.(رواه
البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Dan aku tidak pernah
melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh, kecuali Ramadhan.
Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih
banyak daripada puasanya ketika bulan Syaaban”.
(HR. Bukhari & Muslim)
عن أم سلمة رضي الله عنها قالت : "ما رأيت رسول الله صلى الله عليه
وسلم يصوم شهرين متتابعين ، إلا أنه كان يَصِلُ شعبان برمضان" رواه النَّسائي
وأبو داود والترمذي وابن ماجة وأحمد
Maksudnya: “Aku belum pernah
melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan
Ramadhan”. (HR. Nasaie, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu
Majah)
عن عائشة رضي الله عنها قالت : "كان أحبَّ الشهور إلى رسول الله صلى الله عليه
وسلم أن يصومه شعبانُ ، ثم يصله برمضان" رواه النَّسائي وأحمد والطبراني
Maksudnya: “Bulan yang paling
disukai oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa di dalamnya adalah bulan Syaaban
kemudian disambungkan dengan Ramadhan.”
(HR. Nasaie, Ahmad & At-Tabarani)
Kita dituntut berpuasa di bulan
Syaaban sebagai persediaan kita menempuhi puasa di bulan Ramadhan. Selain
persediaan dari segi pengetahuan kita terhadap hukum-hukum yang berkaitan puasa
Ramadhan, jasmani kita juga harus bersedia untuk menempuhi puasa di bulan
Ramadhan. Salah satu persediaan ialah dengan melatih diri kita berpuasa semampu mungkin di bulan
Syaaban. Apabila sampai bulan Ramadhan, badan kita tidak merasa letih pada hari
pertama kita memulakan puasa.
Puasa Sunat Selepas Pertengahan Bulan Syaaban
Apabila sampai pertengahan bulan
Syaaban, sering kali kita mendengar persoalan-persoalan berkaitan puasa Nisfu
Syaaban (akan dibincangkan dalam entry yang akan datang) dan puasa selepas
pertengahan bulan Syaaban.
Sabda Rasulullah SAW:
إذا انتصف شعبان فلا تصوموا
Maksudnya: “ Apabila setelah
pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa”. (HR Abu Daud &
Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW lagi:
إذا بقي نصف من شعبان فلا تصوموا
Maksudnya: “Jika sudah tinggal
setengah bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Ibnu Majah)
إذا كان النصف من شعبان فلا صوم حتى يجيء رمضان
Maksudnya: “ Apabila telah berada
pada pertengahan bulan Syaaban maka tidak ada lagi puasa sehingga datangnya
bulan Ramadhan. (Riwayat Ahmad & Darimi)
Ketiga-tiga hadis ini diperdebatkan
oleh para ulama hadis tentang statusnya. Terdapat ulama yang mensahihkannya dan
terdapat juga ulama yang mendo’ifkan hadis ini. Ada yang menyatakan hadis ini
berstatus mungkar kerana bersalahan dengan hadis yang sahih dan kuat tentang
Rasulullah SAW menyambung puasa Syaaban kepada puasa bulan Ramadhan dan hadis
yang melarang mendahulukan puasa bulan Ramadhan dengan dua hari atau satu hari
puasa.
Jamhur ulama berpendapat bolehnya
puasa sunat setelah pertengahan bulan Syaaban, dan mereka menda’ifkan hadis
yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Syaaban.
Syeikh Atiah Saqor (الشيخ عطية صقر)menyatakan
dibolehkan berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban bagi mereka yang telah berpuasa
sebelum pertengahan bulan Syaaban. Dan haram atau makruh bagi mereka yang
berpuasa selepas pertengahan Syaaban tanpa didahului dengan puasa sebelum
pertengahan Syaaban sebagaimana diharamkan berpuasa sehari atau dua hari
sebelum Ramadhan sebagaimana hadis Nabi SAW:
لا تقدَّموا -تتقدموا- صوم رمضان بيوم ولا يومين ، إلا
أن يكون صوم يصومه رجل فليصم ذلك اليوم
.
Maksudnya: “Janganlah kalian
mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali orang yang sudah terbiasa puasa sunat, maka silakan dia
melaksanakannya.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Wahai sahabat-sahabat
sekalian, rebutlah peluang beribadat sebanyak-banyaknya dikala nyawa masih lagi
dikandung badan agar kita diredhai oleh Allah SWT dan mendapat syafa’at dari
Rasulullah SAW, serta tidak menjadi orang yang rugi di akhirat nanti. Moga Allah
SWT memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan, InsyaAllah.
Wallahu A’lam Bissowab.
0 comments: