Salam Ramadhan 1433H
Assalamualaikum wbt….
Selamat datang wahai bulan suci Ramadhan. Bulan yang
digandakan segala amal ibadat dan dijanjikan oleh Allah dengan pelbagai
kebaikan . Inilah saat-saatnya ketika tiap hembusan nafas mulai dihembusi
dengan zikir, taubat dan amal-amal
ibadat yang lain. Setiap amal
ibadat yang dilakukan mendapat balasan yang berganda. Perlu direbut, diambil
cakna setiap detik yang berlalu di dalam bulan ini agar tidak menyesal di
penghujungnya.
Sabda Rasulullah
Sallawahu Alaihi Wasallam:
عَنْ سَلْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطُوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيهِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعَينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ.
Daripada Salman r.a. ia berkata: ”Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada
hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- “Wahai manusia sesungguhnya telah
datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan)
iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan,
bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail
(beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan
dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan
sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan
sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadan maka ia
mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”(Riwayat Imam Baihaqi)
Padanya juga dibuka seluas-luas pintu syurga, ditutup serapat-rapatnya
pintu neraka dan diikat serta dibelenggu syaitan.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka,
pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis
Riwayat al-Bukhari)
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ
“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah
syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup
dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun
yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu
Khuzaimah)
Akan tetapi, perlu
diingat bahawa nafsu tetap wujud walaupun syaitan-syaitan dan sekutunya telah
diberkas. Oleh itu, inilah masa yang paling sesuai untuk kita menggilap kembali
hati kita yang pudar, luntur dan hitam dek kerana perbuatan syaitan yang
menjolok nafsu kita ke arah kejahatan.
Bulan Ramadhan merupakan
tanda dan kasih sayang Allah SWT kepada kita sebagai umat Muhammad SAW kerana
padanya pelbagai tawaran hebat yang ditawarkan. Apa yang penting, kita tidak
tergolong dalam kalangan orang yang celaka setelah berlalunya Ramadhan, na’uzubillah.
Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:
"Celaka sungguh
orang yang mendengar nama ku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku. Celaka
sungguh orang yang sempat bersama Ramadhan dan berlalunya bulan itu tanpa dia
mendapat keampunan dari Allah, dan celaka sungguh orang yang berkesempatan
berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, tetapi tidak dimasukkan ke syurga" (Riwayat
Ahmad)
Sebagai penutupnya,
semoga bulan Ramadhan pada kali ini penuh bermakna kepada kita semua. Mintalah pertolongan
daripada Allah SWT agar kita sentiasa diberikan kekuatan olehNya untuk
beribadat di sepanjang bulan ini dan diampunkan segala dosa setelah berlalunya
bulan ini.
Semoga Allah panjangkan
umur kita sehingga sampai kepada Ramadhan yang berikutnya InsyaAllah. Selamat
beramal.
Wassalam…….
0 comments: