Selasa, 31 Julai 2012

Gunakan Marah Anda Untuk Lebih Dekat Kepada Allah SWT di Bulan Ramadhan Ini…


Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah…

Assalamualaikum wbt. wht…

Alhamdulillah, masih lagi diberikan peluang oleh Allah mengecapi nikmat Ramadhan dan masih lagi diberi umur untuk menerima kunjungan tetamu yang sangat istimewa. Moga nikmat ini terus berkekalan hingga ke penghujung Ramadhan.

Tahukah kita bahawa menahan marah merupakan salah satu dari ciri-ciri orang yang beriman. Jom renungi firman Allah SWT ini :

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٣﴾
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;



الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣٤﴾
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Ali Imran :133-134)



Macam-macam yang kita hadapi sepanjang seharian berpuasa. Pelajar perlu menyiapkan kerja rumah mereka, yang kerja di pejabat dengan tanggungjawab mereka di pejabat, ibu-ibu dengan kerenah anak-anak di rumah dan ditambah pula terpaksa melayan kerenah orang di sekeliling membuatkan kita berasa fade up, tidak selesa, serabut, sehingga terkadang sampai tahap memarahi siapa sahaja yang menegur kita.

Semua ini bukan lagi dari syaitan kerana mereka semua telah pun dirantai. Semuanya kembali kepada kita sendiri yang sukar mengawal rasa marah kita apa lagi sewaktu perut sedang berkeroncong.


Renungi wasiat nabi tatkala baginda diminta oleh seorang lelaki agar mewasiatkannya sesuatu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW yang maksudnya:  ”Berwasiatlah kepada ku. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah”. (Hr. Al-Bukhari)

Satu perkara yang perlu kita tahu mengenai marah ialah apabila seseorang marah atau melepaskan marahnya terhadap orang lain, tekanan darahnya akan melambung tinggi dan dia berkemungkinan akan bertindak secara agresif tanpa memikirkan kesan dari tindakannya. Jadi, memang bertepatanlah wasiat yang diberikan oleh Baginda SAW. Kita perlu percaya bahawa setiap yang keluar dari mulut Baginda adalah wahyu dan sangat berguna untuk umatnya.
dik, apa marah-marah ni...jangan marah. tengok, muka pun dah berubah.

Jadi, bagaimana kita ingin menyingkirkan amarah kita ini??

Ahli-ahli terapi barat yang mengkaji mengenai sifat marah ini telah memberi banyak tip untuk menyingkirkan rasa marah. Tapi kita sebagai seorang muslim mempunyai method tersendiri yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dalam mengawal amarah. So, apa yang perlu kita lakukan??

Apabila kita berasa marah, kita dituntut membaca at-ta’awwudh    (التعوذ) iaitu doa agar dijauhkan daripada syaitan; " "أعوذ بالله من الشيطان الرجيم bermaksud: aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam. Kenapa demikian?? Rasa marah adalah dari syaitan. Jadi untuk menghilangkannya, kita perlu meminta pertolongan dari tuhan yang menciptakan syaitan dan rasa marah tersebut.

Kita juga dituntut supaya berwuduk sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (HR. Abu Daud).

Selain itu, kita juga boleh mengubah posisi badan kita ketika kita sedang marah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


"Jika salah seorang antara kamu marah, sedangkan dia ketika itu dalam kedudukan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika marahnya dapat hilang dengan duduk (cukuplah ia duduk).Jika tidak hendaklah ia berbaring”. (HR. Ahmad)

Sungguh cantik cara yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita SAW.



Indahnya Marah Bertempat


Seseorang muslim haruslah dapat mengawal amarahnya dan menunjukkan rasa marah pada tempat yang sepatutnya dan pada kadar yang sepatutnya. Sebagai contoh, kita perlu berasa marah apabila perkara yang berkaitan Islam secara amnya dipersendakan oleh pihak tertentu. Kita sebagai seorang muslim perlu sensitif terhadap perkara sedemikian. Sebagai contoh, marah apabila hukum Allah SWT dipersendakan, ataupun marah kepada mereka yang merobek maruah kaum muslim dengan membunuh, merogol dan menyeksa mereka.

Sebelum mengakhiri kalam, renungilah kata-kata Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani Kuno: “Anyone can become angry,that is easy. But to be angry with the right person, to the right degree, at the right time, for the right purpose, and in the right way,this is not easy.”

Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita, berapa kali kita senyum dan marah dalam sehari, bagaimana kemampuan kita dalam mengawal amarah, ada ke orang yang tidak bersalah menjadi sasaran amarah kita. Semua itu dan banyak lagi kita patut tanya pada diri kita.

Semoga kita mampu mengawal rasa marah kita dan menjadikan marah salah satu cara mendekatkan diri kita kepada Allah, InsyaAllah.

Selamat meneruskan puasa & selamat beramal.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...