Jumaat, 17 Ogos 2012

Antara Sedih & Gembira ; Ramadhan Ditangisi, Syawal Dirai


Ramadhan, pemergianmu ditangisi

Lumrah kehidupan, di sebalik indah dan manisnya sebuah pertemuan, pasti perpisahan menyergah. Pedih dan perit untuk dilalui, tetapi itulah sunnatullah. Tiada siapa yang mampu menahan dan menghalangnya. 

Ramadhan yang kita nikmati kini sampai ke penghujungnya. Perasaan sedih menyelubungi diri. Masakan tidak sedih berpisah dengan bulan di mana sifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun Allah itu berlipat kali ganda, digandakan pahala segala amal ibadat hamba-hambaNya, dibukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup ketat pintu neraka.  Bulan diturunkan padanya kitab panduan seluruh mukmin dan terdapat padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ya Allah ya tuhan kami !!! pertemukanlah kami  untuk kali yang seterusnya dengan bulan yang mulia ini.

Janganlah kita membutakan mata hati kita dengan membiarkan Ramadhan berlalu tanpa ditangisi. Jadilah seperti generasi dahulu, kegembiraan terpancar apabila Ramadhan bertamu, kesedihan menyelubungi diri mereka tatkala Ramadhan berlalu.  

Buat konklusi terhadap diri kita sendiri. Tanya pada diri sendiri. Adakah perubahan positif yang berlaku pada diriku ? Adakah madrasah Ramadhan ini telah aku gunakannya dengan sebaik mungkin ? Apakah sikap positif yang telah mendampingiku selama aku di dalam madrasah Ramadhan ?? Pelbagai lagi soalan yang perlu kita jawab. Tetapi yang paling penting ialah kita mengharapkan keampunan dari Allah SWT dan menjadi sorang yang bertaqwa setelah kita meninggalkan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.

Syawal dirai

Firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿البقرة: ١٨٥﴾

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Bermulanya Syawal tanda kemenangan bagi umat Islam. Kemenangan yang patut kita raikan dalam suasana kegembiraan dan keceriaan. Iaitu kemenangan kita dalam menundukkan dan mendidik hawa nafsu dan pelbagai lagi. Kemenangan ini tidak akan dirai oleh seseorang yang menghiasi puasa Ramadhannya dengan perkara yang dibenci dan dilarang oleh Allah SWT.

Dalam kegembiraan kita menyambut hari raya, Islam  mempunyai falsafah dan etikanya yang tersendiri dalam bergembira di hari raya. Ia jelas disebut di akhir ayat 185, surah Al-Baqarah di atas. Islam mengajak kita bertakbir membesarkan Allah pada hari tersebut dan bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan kerana dua unsur ini merupakan tanda kegembiraan kita.  

Letaklah perasaan gembira sempena kedatangan Syawal ini pada tempat yang sepatutnya. Elakkan diri dari mencemarkan keindahan dan kesucian hari raya dengan melakukan maksiat kepada Allah SWT seperti cuai dalam mengerjakan solat, bersalaman dengan wanita atau lelaki ajnabi, mengumpat dan sebagainya.
 
Semoga dengan berlalunya Ramadhan, dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah SWT dan diterima segala amalan yang telah kita kerjakan serta menjadi seorang yang istiqamah dalam beribadat bukan hanya istiqamah di bulan Ramadhan.

Akhir kata, selamat menangisi pemergian Ramadhan untuk tahun 1433H ini dan selamat menyambut kedatangan 1 Syawal. Sambutlah ia dengan falsafah yang telah ditetapkan oleh Islam tanpa mencemarinya. Maaf Zahir & Batin. 

من العائدين والفائزين والمقبولين وكل عام وأنتم بخير
    
                                           

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...