Isnin, 27 Ogos 2012

Bagaimana Selepas Ramadhan? (Siri Kedua)


[ Bersegera Untuk Tunai Solat Fardhu ]

Selepas Ramadhan pun kita seharusnya memakmurkan masjid-masjid khususnya pada waktu solat subuh bahkan kita mesti berlumba-lumba untuk memenuhkan saf yang pertama. Namun apa yang berlaku amat menyedihkan. Kemana menghilangnya mereka-mereka yang pernah memenuhkan masjid di dalam dan perkarangan masjid? Mengapa mereka tidak solat subuh berjemaah lagi?



Saudaraku yang dikasihi kerana Allah,
Jangan sekali-kali kita mencipta jawapan untuk membalas balik pertanyaan ini. Kita bangun seawal pagi di bulan Ramadhan kerana ingin bersahur supaya dapat menahan letih di siang hari sedang Nabi Muhammad SAW bersabda : “ Bersahurlah kalian semua kerana padanya ada keberkatan ”.
Siapakah yang mengejutkan kita sebenarnya di awal pagi? Tentu sekali ‘sahur’ yang mengejutkan kita. Maka apakah kita tidak lagi bangun seawal pagi kerana sesudah Ramadhan kita tidak lagi dituntut bersahur?
Alangkah ruginya kita setelah mata kita begitu senang untuk celik dan tubuh semakin mudah untuk bangkit seawal pagi untuk bersahur di bulan Ramadhan, tiba-tiba kita memanjakan diri kita semula untuk bangun seawal pagi. Sepatutnya yang mengejutkan kita seawal pagi adalah ‘solat subuh’ bukan sahur yang hanya tertumpu di bulan Ramadhan sahaja sedang solat subuh itu sehingga hujung nyawa.
Motivasi yang pernah diucapkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW : “ Barangsiapa yang solat isya secara berjemaah seumpama dia melakukan solat separuh malam, dan barangsiapa yang solat subuh secara berjemaah seumpama dia melakukan solat sepenuh malam ”.

[ Hari Kemenangan ]

Adakah Syawal yang kita rai ini untuk mereka yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau untuk mereka yang tidak solat sunat teraweh atau pun untuk mereka yang tidak pernah mendekatkan diri dengan Allah?
Sekali-kali tidak!!
Hari kemenangan ini adalah semata-mata untuk mereka yang berpuasa dengan penuh taat, membaca Quran dengan penuh khusyuk, dan melakukan solat teraweh sepenuh ikhlas serta mereka yang membanyakkan kebajikan pada bulan Ramadhan.
Oleh yang demikian kita sepatutnya bergembira dengan ketibaan hari yang bertuah ini.

[ Memelihara Ketaatan ]

Kita semua diumpakan seperti mereka yang melakukan haji ke Baitillah. Pergi ke Mekah dengan penuh dosa dan kembali ke desa permai dalam keadaan dosa terampun. Maka berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita supaya buku catatan amal kita senantiasa bersih daripada terpalit dengan dosa.



[ Segala Perbuatan Mesti Mengikut Niat ]

Barangsiapa yang bersusah payah di dunia dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT dia akan merasai kerehatan yang sebenar di akhirat kelak serta menikmati Syurga yang kekal abadi. Imam Hassan al Basri r.a pernah menyebut beberapa kalimat yang masyhur : “ Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kerehatan kepada orang mukmin kecuali di dalam Syurga ”.

Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan sepenuh hati, taatilah perintahNya serta tahanlah diri kita daripada menyakiti sesama Islam. Lidah begitu mudah menutur kata akan tetapi pastikan ianya bermanfaat untuk Islam. Begitu juga langkahan kaki dan hayunan tangan kita pastikan bahawa pergerakan itu mampu memberi saham dalam neraca amalan kebaikan buat kita. Insya Allah.

Saudaraku yang dicintai kerana Allah,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung amalan kita seharian agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah SWT. Umur semakin berkurang sedang amalan tidak bertambah. Di kala peluang yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih ini, gunakanlah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan syukur atas segala nikmat dan bertaubat atas segala maksiat yang dilakukan secara sengaja atau tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...