Khamis, 13 September 2012

Buih Hari ini Adalah Pemuda Hari Esok (Siri I)


Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
            Bersua kembali kita di medan blog usrah_imtiaz buat kali ini untuk kita saling berkongsi pandangan dan saling nasihat-menasihat antara satu sama lain bagi menyahut seruan baginda Rasulullah SAW : “ Agama itu satu nasihat ”. Lantas menjadikan ia umpama jambatan untuk kita saling berhubung dan mentautkan kembali silatul rahim yang telah tersimpul rapi sebelum ini. Kita yang menyimpulnya dan kitalah yang selayaknya menjaga dengan sebaik mungkin daripada terurai dek keterbatasan waktu dan jarak untuk kita bertemu mata, duduk sejenak di halaqah usrah_imtiaz, mengaktifkan kembali iman yang sedia ada, supaya kita tidak lupa dengan tugas dan peranan yang perlu kita mainkan dalam memberi saham kepada Islam yang dianuti bersama pada hari ini.



Sahabat yang dicintai kerana Allah,
Kita lihat pada hari ini berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia. Mereka sembahyang, berpuasa serta tidak ketinggalan untuk menunaikan fardhu haji ke Kota Suci Mekah sebagai bukti yang mereka adalah hamba Allah SWT yang betul-betul taat kepada suruhan Yang Maha Esa. Hal ini memberi satu desakan kepada kita untuk bertanyakan satu persoalan.
“ Adakah di sana akan berlaku satu perubahan yang besar dalam dunia Islam atau kebangkitan kepada kehidupan Islam selepas ini? ”.
Masakan tidak, jumlah mereka terlalu dan teramat ramai!!!
Sedang satu ketika pernah baginda Rasulullah SAW memberi gambaran kepada sahabat ridhwanullah ‘alaihim tentang keadaan umat Islam di akhir zaman seraya menyebut ;” Hampir-hampir menghancurkan ke atas kalian oleh beberapa kaum seumpama berkerumunnya manusia di hadapan makanan. Lalu kami bertanya : “ Adakah kerana sedikit cuma bilangan kami pada ketika itu wahai Rasulullah? ”. Sabda Rasulullah SAW : “ Tidak, bahkan kalian terlalu ramai, seumpama buih di lautan sedang Allah mencabut rasa gerun di dalam hati musuh kalian dan Allah mencampakkan rasa wahan dalam hati kalian”. Kami bertanya : “ Apa itu wahan wahai Rasulullah? ”. Sabda Rasulullah SAW : “Kasihkan dunia lalu bencikan kematian”.

Sahabat yang diingati kerana Allah,         
Hal ini baginda Rasulullah SAW telah memberi pendedahan awal kepada kita yang mana mereka yang memiliki tanda peribadi ‘buih di lautan’ yang lahir dari benih Islam pada zaman ini iaitu mereka yang peribadinya ‘cintakan dunia’ dan ‘takutkan atau bencikan kematian’. Cintakan dunia dan keterikatan hati dengannya malah tertipu dengan kecantikan dunia adalah bahaya yang paling besar menimpa umat Islam pada hari ini. Allah berfirman :


14. Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia : kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak ; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak ; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih ; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Mereka mulai benci kepada kematian kerana mereka telah menghiasi dunia mereka dengan serba keindahan tanpa membuat persiapan untuk kembali ke negeri akhirat. Oleh sebab itu mereka takut untuk kembali daripada negeri yang penuh keindahan (dunia) ke negeri yang penuh kemusnahan (akhirat)  yang sedang menanti mereka. Hayatilah firman Allah SWT :


44. Maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing.

Sahabat yang dirindui kerana Allah,
Satu soalan yang harus kita utarakan pada diri kita sendiri, berapa ramaikah bilangan pemuda Islam ketika berada di Dar al Arqam? Berapa ramaikah bilangan orang Islam ketika Rasulullah SAW menyebut : “ Demi Allah wahai bapa saudaraku, kalaulah mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (dakwah Islam), nescaya tidak sekali-kali aku tinggalkannya sehinggalah Allah menzahirkan kebenaran itu atau aku mati kerananya ”. Bahkan berapakah bilangan mereka ketika menghadapi Perang Badar? Hari pembukaan Kota Mekah umpamanya? Berapa dan berapa lagi..??? Kemudian ajukan soalan seterusnya pada diri kita, kenapa mulia [berani] sungguh mereka sedang sedikit sahaja bilangan mereka? Dan kenapa hina [takut] sungguh kita sedang bilangan kita ramai sekali?.




Bersambung...
Nantikan siri yang kedua yang akan merungkai apakah rahsia yang menjadikan sahabat ridhwanullah ‘alaihim berani menghadapi apa jua halangan dan rintangan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...