Jumaat, 21 September 2012

Buih Hari ini Adalah Pemuda Hari Esok (Siri II)


Sahabat yang dihormati sekalian,
            Rahsianya adalah kerana mereka memiliki keperibadian yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ini telah diakui oleh baginda Rasulullah SAW sebagai Keperibadian Al Quran yang Rabbani’. Siapa yang membentuk mereka sehingga memiliki sifat yang mulia ini? Benar sekali, baginda Rasulullah SAW telah membentuk mereka sehingga lahirlah satu kumpulan pemuda yang unggul yang sebelum ini pernah hidup di zaman jahiliah yang penuh kegelapan. Mereka meminum arak, berjudi, makan riba, si kaya yang mencuri dibiarkan tanpa hukuman, tetapi yang miskin mencuri dirotan dan sebagainya serta lain-lain amalan yang bercanggah dengan Islam. Namun selepas dimadrasahkan oleh baginda Rasulullah SAW lantas keluarlah mereka sebagai lulusan yang paling unggul di atas muka bumi ini.

[ Tidak sekali-kali bermaksud untuk mengaibkan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim, kecuali semata-mata mahu memberi semangat kepada kita supaya jangan berputus ada dengan rahmat Allah SWT. Ingatlah bahawa sebesar mana pun dosa atau kesalahan yang kita lakukan, sekali-kali Allah tidak akan ambil peduli dengan dosa dan kesalahan tersebut andai kita bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. ]




Apabila datang Islam kepada mereka, mereka menggunakan sedikit waktu malam untuk bermunajat kepada Allah. Mereka menginfaqkan harta mereka dengan tangan kanan sehinggakan tangan kiri tidak mengetahuinya. Mereka teramat kusyuk di dalam solat mereka. Sungguh, perkara yang melekakan hati terus ditinggalkan kerana takut akan azab Allah. Zakat yang diwajibkan ke atas mereka, mereka keluarkan dan merekalah yang menjadi penyuruh kepada perbuatan baik dan pencegah kepada perbuatan mungkar. Inilah pelajaran yang diambil daripada baginda Rasulullah SAW lantas diamal dalam kehidupan seharian mereka yang melayakkan mereka mendapat ‘Keperibadian al Quran yang Rabbani’. Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in.

Sahabat sekeluargku sekalian,
            Inilah syakhisah atau watak personaliti yang patut kita cari dan cuba praktikkan dalam diri kita. Syakhsiah ini sangat mengenali Tuhannya. Ia berakhlak sebagaimana akhlak nabinya. Mentarbiah individu tersebut di Kota Mekah lantas sanggup berdepan dengan pelbagai cubaan dan rintangan. Bila suatu perkara yang amat berat menghalangi mereka, terus mereka selesaikan masalah tersebut dengan bersembahyang seraya berkata : “Arihna Ya Bilal ”. Mereka menahan tangan (kumpul tenaga) mereka, lalu mereka mendirikan sembahyang sambil meminta bantuan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa. Mereka sangat memahami firman Allah SWT kepada Nabi mereka :



73. Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadaMu, supaya Engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya ; dan (kalau Engkau melakukan Yang demikian) baharulah mereka menjadikan Engkau sahabat karibnya.
74. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan Engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah Engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
75. Jika (Engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati ; kemudian Engkau tidak beroleh seseorang Penolong pun terhadap hukuman kami.
76. Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu ; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja.
77. (Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul kami ; dan Engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.


Sahabatku sekalian,
Ingatlah ketika mana baginda Rasulullah SAW berdepan dengan penduduk Thaif yang sanggup melakukan kezaliman terhadap baginda lantas baginda mengadu kepada Allah SWT di dalam luahan yang penuh syahdu, terakam di dalam kitab-kitab sirah : “ Wahai Tuhan apa harusku lakukan terhadap bala dan cubaan yang penuh dahsyat ini. Apa harusku perbuat ketika kelat malam menyelubungi lalu bertambah dahsyat kesakitan terhadapku sedang aku terlalu lemah di hadapanMu. Aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikit cuma kebijaksaanku dan hemahku terhadap manusia. Apa harusku lakukan wahai Tuhanku? ”. Lantas jawapan dari Allah SWT dengan firmanNya :



78. Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh. Sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).
79. Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu ; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Sahabatku sekalian,
Ini membuktikan kepada kita bahawa sembahyang adalah ubat yang paing mujarab ketika kita berdepan dengan apa jua kepayahan. Hasil daripada inilah lahirnya para sahabat yang mana disebut di dalam al Quran :


37. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat ; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Moga kita semua mampu mencontohi generasi anak didik baginda Rasulullah SAW yang terunggul ini. Siapa lagi kalau bukan kerana darah dan nyawa yang mereka pertaruhkan nescaya Islam tidak akan sampai kepada kita saat ini.
Radhiyallahu ‘anhum waradhu ‘anh.

Rujukan :
Kitab Al Dakwah Qawaid Wa Usul,
Dr. Jumaat Amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...