Isnin, 10 Disember 2012

WARKAH ABI

WARKAH ABI
Dedikasi buat keluargaku Usratulimtiaz

Genap 2 dasawarsa Bumi Kinanah abi tinggalkan bersama sejuta memori suka dan duka. Namun tetap menjadi yang terindah subur bertaman di relong sejarah kehidupan abi hingga kini. Usai menamatkan pengajian Ijazah Pertama abi di Universiti Al Azhar, Cairo dalam Kuliah Bahasa Arab, abi kembali ke tanahair memulakan episod baru berpijak di tanah kehidupan reliti, berkerjaya dan berkeluarga. Betapa pantas waktu itu berlalu dan betapa jauh ia pergi meninggalkan kita. Hari ini, masih di atas tapak kaki yang sama abi berdiri merenung jarak perjalanan sesingkat yang terbaki, sedang kudrat semakin terbatas, tidak lagi segagah dulu berlari membelah ranjau mendepani hukum karma.

Anak-anak yang abi cintai......
Sehingga ke epilog kehidupan ini, banyak sudah yang abi perolehi dan tidak kurang juga yang abi gagal mendapatkannya. Namun bagi abi kebahagiaan itu bukanlah memiliki segalanya, tetapi kebahagiaan itu akan terasa bila kita sentiasa bersyukur dan redha dengan apa yang ada. Antara ni'mat paling berharga yang Allah anugerahkan dalam hidup abi adalah Usratulimtiaz yang selama ini menjadi penyejuk di mata penawar di hati. Hari ini Usratulimtiaz sudah  menjangkau usia 20 tahun, andai diukur pada seorang manusia, ia pasti seorang pemuda yang gagah dan penuh bertenaga, usia yang penuh dengan semangat dan cita-cita. Usratulimtiaz itu bagaikan sebuah taman, di dalamnya kita gembira bermain dan menikmati manisnya persahabatan. Di dalamnya kita sama-sama memetik bunga yang indah dan harum. Di dalamnya kita bercerita dan melakar warna pelangi yang indah. Usratulimtiaz juga adalah sebuah madrasah, di dalamnya kita pelajari tentang ketuhanan dan kehambaan, tentang alam dan kemanusiaan,  tentang kebenaran dan kebatilan jua tentang sejarah dan masa hadapan. Dan kita sama-sama berusaha membetuli apa yang salah dan melengkapi apa yang kurang dengan penuh rasa sedar dan harap. Ia benar-benar anugerah Allah yang teramat indah dan tuntas kita syukuri.

Ratusan sudah lulusan madrasah Usratulimtiaz di luar sana, telah berjaya, punyai kerjaya, perniagaan, rumahtangga dan sebagainya. Mungkin itulah dambaan setiap manusia, termasuk abi senditri. Kadang kala kita terlupa amaran dari Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud: " dan ketahuilah olehmu bahawa anak pinak kamu dan harta benda kamu itu merupakan fitnah (ujian) bagin kamu,....." al Anfaal 8:28
Sepatutnya kemudahan dan kesenangan hidup yang dini'mat menjadi dorongan untuk terus bekerja untuk Islam dan dakwah. Apa yang telah sama-sama kita pelajari, kita bincang dan bahaskan dalam siri liqa Usratulimtiaz sepatutnya kita terjemahkan dalam bahasa yang lebih hidup dan waqie. Kita terus berusaha memperkasa Usratulimtiaz ini agar kita mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan untuk memikul beban dakwah dan tarbiah. Bukan menjadi orang yang lemah, sering tercicir dan selalu mencipta alasan untuk menguzurkan diri dari tanggungjawab dakwah. Jangan ada di kalangan kita orang yang cuba memencilkan diri dari jamaah, dalam situasi yang lebih mikronya, dari usrah. 

Anak-anakku tercinta
Rasa walang sering menjalar dalam sanubari ini bila melihat sebahagian besar sahabat-sahabat kita yang telah dijangkiti penyakit wahn, penyakit cintakan dunia takutkan mati. Ingatlah di suatu masa nanti Allah pasti akan bertanyakan kita: Di manakah kamu di saat orang lain bermati-matian bekerja dan berjuang untuk kemenangan Islam? Kamu sibuk menguruskan kerja dan harta kamu di saat orang lain berlumba-lumba menginfaqkan harta mereka di jalan Allah. Kamu bersukaria dengan isteri dan anak-anak kamu, di saat orang lain mengorbankan masa, tenaga dan nyawa mereka kepada perjuangan Islam. Kamu menggantung ijazah kamu di dinding untuk tontonan sedang masyarakat berada dalam kejahilan mengharapkan curahan ilmu yang engkau pelajari. Muhasabahlah wahai anak-anakku yang aku sayangi, jika ada di kalangan kita orang yang sebegini maka ia adalah seumpama binatang peliharaan, bahkan terlebih sesat dari binatang tersebut. wal'iyaazubillah.

Dalam meditasi ini kusulam segala harapan agar anak-anakku yang diasuhtarbiah di mihrab Usratulimtiaz  diberi Allah kekuatan dan istiqamah di atas jalan dakwah dan perjuangan Islam serta dijauhkan Allah dari sifat futur dan lari dari landasan perjuangan.

Semoga bicara ringkas ini menjadi stanza cinta yang sentiasa berkidung dalam ingatan kalian.
`


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...