Rabu, 22 Ogos 2012

Bagaimana Selepas Ramadhan? (Siri Pertama)


Saudaraku yang dicintai kerana Allah,
Berlalunya Ramadhan bukan beerti bebaslah kita daripada menahan diri dalam melakukan perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Menjaga makan, minum, mata dan anggota badan yang lain daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa tetap sama dijaga walaupun kita berada di bulan mana sekalipun. Ini jelas terakam di dalam Firman Allah SWT : “ Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat) “. Surah Qaf, ayat 18.
Raqib dan ‘Atiq tidak pernah berhenti daripada mengintip segala gerak geri kita untuk dilaporkan kepada Allah SWT dan kitalah yang bertanggungjawab dalam menjawab segala apa yang dicatat oleh mereka berdua.


            Syawal yang menjelma merupakah hadiah yang mahal daripada Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa untuk dirai dengan penuh kegembiraan kerana selama sebulan kita berjaya mendidik jiwa dan mengawal nafsu sehingga kita berjaya mendapat ijazah berpangkat “taqwa”. Sama ada semua di kalangan kita berjaya meraih pangkat tersebut atau tidak, maka yang terlebih layak untuk menjawabnya adalah diri kita masing-masing. Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan lepas mendapat nilaian yang terbaik dan diterima oleh Allah SWT.

Saudaraku yang dikasihi kerana Allah,
            Imam Hassan al Basri r.a ada menyebut : “ Tiadalah satu hari yang dilalui oleh seorang lelaki pada hari tersebut, akan ada seruan menyeru kepadanya dengan berkata : Wahai anak adam, aku adalah hari baru buatmu, amalanmu sebagai saksi. Maka rebutlah peluang dariku. Sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehinggalah tibanya qiamat “.

Oleh yang demikian sama-samalah kita penuhi hari-hari kita dengan amalan yang disukai oleh Allah SWT dan RasulNya agar kita tidak segan untuk kembali kepada Tuhan dengan hati yang tenang.

[ Latihan Bernilai ]

Hari yang berlalu atas kita, sama ada sehari, dua minggu, mahupun sebulan, lalu apakah perkara yang kita isi di dalamnya? Apakah pengajaran yang kita dapat pelajari daripadanya? Sepanjang Ramadhan, kita dilatih supaya tidak makan dan minum bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, lalu apa pula yang kita peroleh daripada peraturan ini? Sesungguhnya orang berakal ialah orang yang sentiasa menghisap diri agar diari kehidupannya pada hari ini lebih baik daripada hari kelmarin dan diari untuk keesokan harinya terlebih baik dari hari ini.

Saudaraku yang dimuliakan Allah,
Sebenarnya, latihan yang kita perolehi di bulan Ramadhan menjadikan kita lebih kuat dan tabah dalam mengharungi liku-liku sebuah kehidupan. Lapar mengajar erti kesabaran. Menjinakkan hati agar bersifat Qana’ah iaitu bersyukur dengan seadanya daripada nikmat pemberian Tuhan. Seluruh manusia mukmin menjadi sama rata. Si miskin tetap berpuasa. Si kaya juga tidak akan menjamu selera sehinggalah dikumandangkan azan maghrib, waktu untuk berbuka.

[ 30 Hari Sepanjang Latihan ]

Sepanjang 30 hari kita dilatih supaya mentaati Allah SWT. Kita berhenti daripada makan dan minum yang semuanya halal buat kita bermula terbit matahari sehinggalah tenggelamnya matahari barulah segala yang halal tadi kita kembali melakukannya. Kita makan lalu berhenti, makan kemudian berhenti sehinggalah sebulan berlalu..mengapa?

Sungguh Bulan Ramadhan telah melatih kita. Maka selepas Ramadhan seharusnya kita dapat menilai dan melihat apakah kejayaan yang kita perolehi sepanjang keberadaan kita di dalam latihan bulan yang mulia tersebut. Kenderaan yang dibaik pulih enjinnya tentu sekali meluncur lebih laju di jalan raya berbanding kenderaan yang belum dibaik pulih enjinya. Selama sebulan ‘enjin’ kita dibaik pulih, seharusnya sedikit sebanyak perlu ada perbezaan daripada sebelumnya. Tepuk dada, tanyalah Iman.

Sekiranya Quran yang mulia dapat dikhatamkan di dalam bulan mulia ini. Maka mengapa tidak dikhatamkan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Apakah hanya Ramadhan memiliki bilangan hari yang lebih daripada bulan-bulan Islam yang lain. Atau barangkali sehari di bulan Ramadhan melebihi 24 jam??

[ Pemilik Ramadhan Juga Merupakan Pemilik Bagi Syawal ]

Sekalian bulan mempunyai pemilik yang satu iaitu Tuhan Yang Esa. Sesiapa yang berbuat ibadat kerana Ramadhan sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi, akan tapi sesiapa yang beribadat kerana Tuhan bagi Ramadhan sesungguhnya Tuhan bagi Ramadhan [Allah] itu Maha Hidup tidak akan mati.

[ Ketaatan Yang Berpanjangan ]

Firman Allah SWT : “ Wahai orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul ( Muhammad SAW ) ”. Surah Annisa’, ayat 59.
Kita diperintahkan oleh Allah SWT supaya taat perintahNya dan RasulNya tanpa mengira masa dan waktu. Ramadhan mahupun bulan lain. Taat kepada Allah dan Rasul semestinya berpanjangan dan berterusan sehingga kita semua menemui Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...