Ahad, 24 April 2011

Redha Terhadap Allah

Memang, redha kepada Allah S.W.T merupakan suatu sikap yang mulia lagi tinggi darjatnya. Firman Allah S.W.T : “ Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap Allah “ ( Al – Bayyinah : 8)

Sabda Rasulullah S.A.W : “ Sesungguhnya Allah S.W.T, apabila mencintai sesuatu kaum maka mereka akan diujiNya. Barangsiapa yang redha, maka Allah S.W.T meredhai mereka dan barangsiapa yang bersungut maka Allah S.W.T pun murka terhadap mereka. ( Hadis riwayat : Ibnu Majah dan At-Tirmizi).

Sabda Baginda lagi : “ Sesungguhnya Allah S.W.T dengan kebijaksanaanNya telah memberikan kesentosaan dan kemudahan dalam keyakinan dan keredhaan, dan memberikan kesempitan dan kesusahan dalam keraguan dan kesungutan”. ( Hadis riwayat : At - Thabarani).

Orang yang redha kepada Allah S.W.T ialah orang yang menerima dengan tabah ketentuan Allah S.W.T. Apa sahaja yang ditakdirkan Allah S.W.T, meskipun berlawanan dengan cita-citanya, atau tidak diingini oleh hawa nafsunya seperti kerugian dalam jiwa dan harta, atau bencana, tekanan hidup, kemiskinan atau kesempitan dalam pencarian rezeki, namun ia tetap sabar dan redha terhadap apa yang ditakdirkan Alllah S.W.T itu, jiwanya sentiasa tenang dan tidak pernah bersungut, membangkang atau beranjak walaupun sedikitpun.

Hendaklah kita sentiasa waspada dari ucapan “kalau begitu” atau “mengapa begitu” atau “bagaimana boleh jadi begitu”. Hendaklah kita mengetahui bahawa Allah S.W.T Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam segala ketentuan dan keputusanNya, dan Dia tidak akan menentukan bagi seorang hamba mukmin dalam suatu perkara yang dibencinya, melainkan ada suatu sebab yang baik, atau kebajikan bagi dirinya, ada balasan yang mulia yang tidak diketahui si hamba mukmin itu. Kerana itu hendaklah sang hamba itu sentiasa bersangka baik terhadap Allah S.W.T serta redha terhadap segala ketentuanNya.

Kemudian hendaklah ia kembali kepadaNya dengan merendahkan dirinya bahawa ia sentiasa berhajat kepada pertolongan Allah S.W.T. Hendaklah ia sentiasa berdiri dihadapnNya dengan perasaan hina dan miskin, memperbanyakkan pujian dan ucapan syukur kepadaNya dikala senang dan susah, ketika dalam keluasan dan kesempitan, dan sepatutnya kita menunjukkan dan memanjatkan segala pujian kepada Allah S.W.T Tuhan semesta alam.

Wallahu A3lam…

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...