AKU JADI SEMAKIN KELIRU
Hari ini, meskipun aku mampu berdiri di atas kakiku sendiri, namun tiada apa yang dapat kubanggakan. Menoleh ke sekeliling, meneliti arus perubahan yang pesat di bawah panji pemodenan. Manusia semakin rakus dan gila. Gila kuasa, gila harta, gila nama dan gila mengejar dosa. Semua orang sudah diajar menjadi gila, hanya yang tak gila dikatakan gila. Mereka sudah biasa meneguk dosa hanya seperti menghirup secawan kopi pagi, tiada jeleknya pada mata yang melihat. Kejahatan sudah berani dipertontonkan tanpa ada yang menegur, kalau adapun yang menegur sudah dikira dia seorang gila. Maka apa perlunya diambil peduli dengan kata-kata tegurannya, kerana dia seorang gila.
Remaja kian kehilangan arah tujuan, hanyut seperti buih dilambung ombak, terhempas lalu pecah. Hidup bagaikan tanpa apa-apa makna, sekadar untuk mencari keseronokan dan melepas gelora nafsu. Akhirat tidak pernah terlintas difikiran, apa lagi untuk membayangkan azab kubur dan siksa neraka. Apa sudah jadi pada mereka? Yang tua lesu tak terkata, hanya sekadar mampu giling kepala, sedang musuh-musuh Islam dalam senyum riuh bersorak gembira.
" Kalau engkau ingin melihat pemimpin masa hadapan, maka lihatlah kepada pemuda-pemuda hari ini " ungkapan seorang ulama gerakan yang pernah aku baca semasa belajar di Al Azhar hampir dua dasawarsa yang lalu. Kebimbangan menyelinap setiap urat nadi para pendokong dakwah, biarpun sifat yang perlu ada pada setiap para du'at itu mesti optimis terhadap kejayaan dan masa depan Islam. Namun rasanya mereka tidak mampu untuk menyembunyikan gundah di hati.
Aku rasakan semakin kerdil dan terpencil, asing dalam habitat sendiri. Menggenggam Islam dalam belantara jahiliyyah umpamakan menggenggam bara yang panas menyala. Orang sudah tidak nampak bezanya antara sunnah dan budaya. Berpakaian sopan dan menutup aurat dilihat sebagai etika bukan lagi sebagai tuntutan dan kewajipan. Mereka akan menutup aurat bila ke masjid, atau menghadiri majlis dan program agama, sebaliknya akan berpakaian yang sendat menjolok mata (tapi masih bertudung) bila berpeleseran atau ke tempat-tempat hiburan dan seumpamanya. Sehinggalah bila perkara itu sudah terlalu biasa, maka generasi baru terutama di kalangan muslimat memahami bahawa menutup aurat itu ialah memakai tudung. Realitinya hari ini kita lihat di mana-mana sahaja, dari gadis-gadis kampung sehinggalah pelajar-pelajar universiti telah terbiasa dengan memakai seluar jean ketat, T shirt sendat dan bertudung singkat. Bagi mereka itu sudah cukup Islamik. Sebaliknya bila mereka melihat ada muslimat yang memakai jilbab labuh, berjubah serta berstokin, mereka terus merasa rimas dan memandang dengan jelingan mata yang mencemuh. Datang pula sekumpulan muslimah yang berada di tengah-tengah antara dua golongan ini, kumpulan muslimah yang ingin dilihat up to date tapi masih ingin mengekalkan ciri-ciri berpakaian Islam yang sebenar, mereka yang gemarkan fesyen yang disebut-sebut sebagai busana muslimah. Cuma kadang-kadang aku agak kabur dengan penampilan mereka samada bertujuan untuk menonjolkan kaedah menutup aurat atau sebaliknya lebih menonjolkan fesyen terkini. Aku pernah membaca di facebook seorang rakan menulis suatu ungkapan "Busana Muslimah atau Bencana Muslimah". Sebelumnya aku tak pernah terfikir hal ini, tapi bila terbaca, aku juga mula rasa kurang senang dengan realiti yang ada. Aku jadi semakin keliru.
0 comments: