Ahad, 6 Jun 2010

Usrah Wada' bersama ikhwah yang akan ke KUIN


Jumaat 21 JAMADILAKHIR 1431 / 4 JUN 2010


Waktu berjalan begitu pantas hingga tak terasa. Sedar tidak sedar, bahtera ukhuwwah yang kita naiki bersama dalam melayari kehidupan telahlah pun tiba di suatu pelabuhan. Beberapa orang sahabat terpaksa turun dan singgah di sini untuk beberapa waktu demi tuntutan perjuangan dan kehidupan masa depan, dan kita yang berada di atas bahtera ini akan meneruskan pelayaran yang tidak bernokhtah sebelum tiba di penghujung nyawa.


Pantai Sri Aur yang sudah menjadi sinonim dengan peristiwa pertemuan dan perpisahan ahli-ahli usratulimtiaz. Pada tanggal ini, kami meraikan sebahagian daripada ahli yang akan mendaftarkan diri di Kolej Universiti Islam Insaniah Kedah pada 7 Jun 2010. Pada Ba, KUIN adalah pilihan terbaik buat ikhwah yang tidak berkesempatan untuk sambung belajar ke Universiti Al-Azhar, kerana hampir kesemua pensyarahnya merupakan Profesor daripada Al-Azhar Mesir. Bahasa pengantar di sini adalah Bahasa Arab. Tambahan lagi, kerja-kerja dakwah di kalangan pelajar di sini dapat dijalankan dengan bebas, malah usrah diwajibkan bagi setiap pelajar. Insyallah jika Ba ada kesempatan, Ba akan ziarah kalian di sana.


Sewaktu catatan ini ditulis, kalian sedang mendaftarkan diri di sana. Selamat belajar di tempat baru dan selamat meneruskan perjuangan. Ba harap kalian dapat meneruskan usrah kita di sana, dan jika ada kesempatan catatkanlah sesuatu sebagai bahan pengisian usrah kita di laman blog ini, agar ketika kita berjauhan, kita tetap sentiasa berkongsi ilmu dan fikrah bersama. Anggaplah apa yang kalian dapat selama ini sepanjang kita berusrah, walaupun hanya sekadar sedikit ilmu dan pengalaman, sebagai sebiji benih yang belum cambah. Maka semailah benih tersebut semasa kalian berada di sana. Semoga nanti ia akan cambah menjadi sepohon pokok yang rendang, bisa nanti menjadi tempat orang lain menumpang teduh... menguntumkan bebunga nan indah dan harum, bisa nanti mendamaikan mata yang menatap dan memberikan mereka aroma haruman yang menyegarkan... memutikkan buah yang baik dan manis, bisa nanti orang lain mengecapi enak dan kelazatannya.


Sesungguhnya tidak ada yang lebih membahagiakan, selain melihat kalian semua berjaya, dan lebih akan membahagiakan lagi jika kalian terus beristiqamah meneruskan perjuangan yang selama ini kita jinjing dan pikul bersama.


1 ulasan:

  1. Tahniah pada ikhwah dari usrahimtiaz keran berjaya ke peringkat pengajian tinggi... selamt berjuang semua semoga berjaya.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...