Malam Al-Qadar....Khairum Min Alfi Syahr
Kini kita telah berada di minggu terakhir Ramadhan. Satu perkara yang sering diperkatakan dalam minggu terakhir Ramadhan setiap tahun oleh umat Islam ialah mengenai Malam Al-Qadar yang sering disebut sebagai "Lailatul Qadar" .Seperti mana yang dimaklumi, malam al-Qadar penuh keberkatan di sisi Allah SWT. Ia mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan dan disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Ini seperti mana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar.
Apakah yang dimaksudkan malam al-Qadar itu?
Malam al-Qadar ialah malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Turunlah malaikat dan rohnya (Jibril) dengan izin Allah untuk mengatur semua urusan.
Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.."
Di malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadis :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim )
Sebuah lagi hadis menyebut :
" Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Pada umumnya sudah banyak diperjelaskan sama ada secara tulisan atau lisan (ceramah, forum, bengkel atau seminar) mengenai kelebihan, fadhilat, sejarah, peristiwa dan gandaan pahala amalan ketika malam berkenaan. Namun, apa yang jelas daripada segala penerangan sama ada tulisan atau lisan, ternyata pada umumnya umat Islam tidak tahu bilakah tarikh atau masa yang tepat bagi memastikan malam al-Qadar.
Akan tetapi, menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Selain itu, banyak sekali hadis yang menyarankan umat Islam supaya mencari malam al-Qadar. Antara hadis yang dapat dikutip dalam kitab fiqh yang memperkatakan suruhan atau amalan untuk menemui malam al-Qadar menyebut:
i. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Carilah dengan sedaya upaya malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam yang terakhir pada Ramadhan"
ii. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar, Rasulullah menyebut, "Saya melihat mimpimu bersepakat menetapkan bahawa Lailatul Qadar pada tujuh malam terakhir. Maka sesiapa yang hendak mencari Lailatul Qadar, carilah pada malam tujuh yang terakhir"
iii. Diriwayatkan oleh Muslim dari Ibn Umar, Rasulullah bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir, jika seseorang kamu mencari maka janganlah kamu kalah dalam mencari pada tujuh malam terakhir"
Berdasarkan maksud hadis di atas, ternyata tidak disebutkan dengan jelas tarikh Lailatul Qadar yang tepat. Banyak hikmah yang tersirat di sebalik perahsiaan tarikh dan masa sebenar berlakunya Lailatul Qadar. Ramai ulama yang berusaha menyingkap hikmah-hikmah di sebalik dirahsiakan masa yang tepat berlakunya Lailatul Qadar.
Para ulama antaranya Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebut bahawa tarikh malam Al-qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya.
Selain itu, Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam beberapa malam supaya kita menghidupkan malam-malam itu dengan ibadat dan amalan.
Sesungguhnya malam yang diberkati ini, sesiapa berusaha mendapatkannya Insya Allah, dengan izinNya, asalkan bersemangat berbuat ketaatan beribadah kepada Allah untuk menghidupkan malam Al - Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalaNya yang besar, jika berbuat demikian maka akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu, Insya Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ertinya : Barang siapa berdiri (solat) pada malam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Disunnahkan memperbanyakkan doa pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari Aisyah r.a berkata : “Aku bertanya, “Ya Rasulullah ! Apa pendapatmu jika aku tahu bila malam Al-Qadar (terjadi), apa yang harus aku ucapkan ?” Baginda menjawab, “Ucapkanlah :
“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul afwa fa’fu’annii”
“Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku”
Semoga Allah sentiasa memberkati kita, membangunkan kita pada sepuluh malam terakhir, dengan menghidupkannya dengan ibadah seperti solat tahajjud, solat hajat, solat tasbih, berzikir dan membaca AlQuran dan lain-lain.
Semoga pada tahun ini, Allah akan memberikan kita kekuatan untuk melakukan ibadat dalam usaha kita menemui malam yang telah disebutkanNya sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. InsyaAllah.
Wallahu A3lam.
0 comments: