Isnin, 26 Disember 2011

اجلسْ بنا نؤمن ساعة

Pasiran pantai Bukit Keluang yang melengkung bak bibir perawan tersenyum menyambut kami bertandang sepetang tanggal 25 Disember 2011. Laut bening yang membiru riang berkidung syair citra dan sesekali merebahkan ombak galak di dada pasir. Gemercik air yang pecah di celahan batu-batu pantai bagaikan melambai mengucap ahlan wasahlan kepada kami yang sudi bertamu. Subhanallah.. Engkaulah Maha Pencipta lukisan alam yang indah nian. Laut, ombak, batu dan pepasir, angin serta jajaran pepohon bersatu melengkapi tatarias kanvas panorama yang adiwarna. Aku dengar nyayian ombak bukan suara biasa-biasa. Aku rasai gemalai semilir bukan hembusan biasa-biasa. Aku juga lihat tarian pepohon bukan goyang biasa-biasa. Semuanya sedang bertasbih, bertahmid dan bertakbir menyusun rangkap stanza cintanya kepada Maha Pencinta. Ya Rabb.. betapa rasa malu yang teramat melimpahi relung naluriku..  kerana aku adalah manusia, dan manusia itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Namun aku tak tampu menjadi sehebat laut dan ombak, aku juga tidak mampu untuk segagah batu dan pasir dalam menghayati pengabdian.. malah dalam mengejar cintaNya pun aku sering kali rebah di lereng hina dan terpalit najis dosa.

Bukan mudah untuk kami berkumpul seperti ini sejak jarak dan batasan waktu sering menjadi alasan. Kehadiran kali ini pun tidaklah ramai kerana kebanyakan ahli sedang berada di kampus pengajian, selebihnya yang bekerja di luar tidak pulang bercuti. Apa pun Alhamdulillah juga..walaupun tak semeriah rehlah ke Cameron Highland yang lalu, paling tidak kami dapat juga duduk bersama buat seketika untuk memperbaharui iman dan keyakinan kami terhadap Allah dan perjuangan menegakkan agamaNya. Gurauan senda dan usik mengusik antara ahli telah memeriahkan kembali pentas ukhuwwah yang sekian lamanya sepi. Aku yang selama ini rasa terpencil persis kambing yang  terpisah daripada kumpulannya merasa sedikit segar dan bertenaga. " Seseorang mu'min itu adalah lemah sekiranya dia menyendiri, tetapi akan mnjadi kuat apabila berada bersama dengan sudara-saudaranya ". 

Di pantaian ini kami bersama melakar pelangi.. semuga esok akan menjanjikan sinar mentari pagi yang akan menyinari kelangsungan hayat Usratulimtiaz. Jampi semangat dan mentera motivasi telah dibaca seadanya oleh al akh Abe Mad. Kaedah dan manual telah diterang jelas oleh al akh Muzaidi. Aku sekadar menambah apa yang perlu dan melengkap apa yang kurang. Semuga tiada lagi antara kita yang kabur matlamat dan hilang arah tuju, bagai layang-layang terputus tali, bak bahtera patah kemudi.
 

Ikhwan Usratulimtiaz dan juga rakan2 yang berkunjung ke blog ini,
Yakinlah bahawa zaman ini adalah zaman kemenangan gerakan para pemuda. Semoga bahang isu Adam Adli seorang pimpinan gerakan mahasiswa UPSI menjadi ikon baru kebangkitan golongan muda, khususnya mahasiswa menjadi percikan api yang menyalakan Obor transformasi dan anjakan paradigma yang akan marak merebak ke dalam jiwa dan pemikiran seluruh pemuda. Aura Adam Adli kini menjadi suatu yang amat digeruni oleh para pemimpin sebuah parti pemerintah. Mulalah para penjilat menjelir-jelirkan lidah mereka melalak-lalak bagai disampuk sawan b..i, mangencam, mengugut dan memaki..walhal apa sangatlah salahnya Adam yang sekadar menurunkan bendera pemimpin dewa mereka, sebagai ekspresi menentang AUKU yang zalim dan disahkan oleh pakar perundangan sebagai suatu akta yang tidak sah di sisi undang-undang negara.. berbanding dengan isu yang lebih kurang sama tarikh kelahiranya iaitu penyelewengan ratusan juta wang kerajaan dalam syarikat NFC yang dimiliki keluarga dan anak beranak seorang menteri kabinet dalam kerajaan Malaysia. Apakah nilai sekeping bendera pemimpin dewa itu lebih mahal harganya daripada  ratusan juta wang negara yang telah diselewengkan? Butanya hati dan fikiran para penjilat itu.. mereka sanggup dilembukan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang zalim, korup, perasuah, perompak harta kerajaan, yang beraja di hati dan bersinga di mata... apalah nasib para pengikut dan penyokong mereka... lebih-lebih lagilah dilembukan. Kita sama-sama berdoa dan menyokong gerakan memanshkan AUKU yang selama ini menjadi penjara tak berpalang kepada para mahasiswa. Kita juga berdoa semoga Allah memelihara dan melindungi saudara Adam dari segala ancaman dan kejahatan.

Saudara-saudaraku tercinta.. sesungguhnya aku telah melewati batasan usia, namun aku akan terus bersama kalian meniupkan semangat dan bara perjuangan. Jika kita susuri perjalanan awal dakwah di zaman RasululLah saw, sejarah telah membuktikan bahawa golongan muda sentiasa berada di barisan hadapan perjuangan. Pengiktirafan ini telah dinyatakan sendiri oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud : " sesungguhnya aku telah mmendapat sokongan daripada para pemuda di saat aku ditentang oleh golongan dewasa ". Lihatlah gelombang Tsunami revolusi yang berlaku mutaakhir ini khususnya di Asia Barat. Bermula di Tunisia. Percikan api kebangkitan rakyat Tunisia bermula dengan kisah seorang pemuda yang memprotes kezaliman rejim yang berlaku terhadapnya dengan membakar diri. Peristiwa ini telah memarakkan api penentangan seluruh  rakyat Tunisia terhadap rejim Ben Ali yang memerintah selama puluhan tahun dan akhirnya memaksa Ben Ali melarikan diri ke negara Saudi untuk mendapatkan suaka politik di sana. Kemudian api revolusi ini terus merebak ke negara-negara berdekatan seperti Mesir dan Libya. Di Mesir beberapa orang pemuda telah memulakan api revolusi melalui sesawang sosial di internet yang akhirnya berjaya mengumpulkan jutaan manusia di Medan Tahrir Kahirah, di mana dunia menyaksikan rejim Husni Mubarak yang memerintah Mesir lebih 30 tahun rebah tersungkur di kaki rakyat. Seterusnya diikuti oleh revolusi yang berlaku di Libya yang menyaksikan rejim Muamar Gadafi yang memerintah melebihi 40 tahun dijatuhkan rakyat dalam keadaan yang sangat tragis di mana pemimpin itu ditangkap dan ditembak mati. Angin revolusi kemudian bertiup lagi ke Yaman dan Seria. Kini revolusi itu mula merebak dan membakar jiwa sebahgian rakyat Malaysia.. cuma dalam acuan yang berbeza. Yang paling hampir insya Allah kita akan tunjukkan dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. 
 
Selamat berjuang saudara-saudaraku... Islam pasti gemilang.
Allahuakbar 3x.

catatan : abuabdillah muhamad

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...