Isnin, 31 Januari 2011

Kategori Manusia Berdasarkan Cita-cita



بسم الله الرحمن الرحيم

Ketahuilah wahai sahabat-sahabatku, cita-cita manusia itu terbahagi kepada tiga:

Pertama : orang-orang yang terdahulu, seperti para anbiya dan siddiqin. Mereka tidak mencita-citakan hidup setinggi langit, malah merasakan maut itu sentiasa dekat kapada diri mereka. Lantaran itu, mereka selalu bersiap sedia untuk menerima maut serta menumpukan segala perasaan mereka terhadap ALLAH dan taat kepadaNya. Sebab itu mereka tidak mempunyai waktu untuk menguruskan kepentingan dunia sama sekali, kecuali yang terpenting dan yang merupakan tanggungjawab mereka atas diri mereka.

Sebenarnya para anbiya dan siddiqin itu telah sampai ke kemuncak cinta kepada Allah dan cinta kepada Hari Kiamat sehingga jika dikatakan kepada mereka: “kamu akan mati esok” nescaya mereka tidak menemukan sesuatu yang kurang dari amalan-amalan soleh mereka untuk ditambah, selain dari biasa mereka lakukan setiap hari. Mereka tidak pernah gentar terhadap maut kerana mereka telah sampai ke puncak yang tertinggi dalam mencintai Allah dan mentaatiNya.

Kedua : orang-orang yang bersifat pertengahan dari golongan orang-orang baik dan taat. Cita-cita mereka untuk terus hidup agak pendek. Tidak pernah lalai dari mengingati Allah dan tidak lupa akan Hari Akhirat. Tiada sesuatu yang dapat mengalpakan dari bersiap sedia untuk menghadapi maut. Tidak sepanjang waktu membanting tulang untuk mengejar keindahan dunia, atau terpedaya akan keindahan dan syahwatnya yang merosakkan dan membinasakan.

Tetapi dalam menjalani ketaatan kepada Allah itu mereka tidak sekuat orang-orang yang digolongkan dalam kategori yang pertama tadi, yang sentiasa mengingati mati. Seandainya ini berlaku kepada mereka, nescaya mereka tidak mampu menguruskan urusan hidup.

Ketiga : iaitu orang-orang yang terpedaya dan bodoh. Mereka menyimpan harapan panjang untuk hidup, sehingga lupa terhadap urusan akhiratnya dan alpa untuk mengingati maut. Seluruh anggota tubuh dan hati mereka terpikat kepada keindahan dunia dan sibuk mengumpulkan harta dunia.

Mereka bermegah-megah dengan keindahan dan perhiasan dunia serta mengutamakan kesenangannya, padahal Allah telah mencegah nabiNya agar jangan menumpukan perhatian kepada kesenangan dunia.

Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka (yang kafir itu menikmatinya), yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk kami menguji mereka padanya, sedang limpah kurnia Tuhanmu di Akhirat lebih baik dan lebih kekal”. (Surah Taha: 131)

Cita-cita sebegini adalah cita-cita yang buruk dan keji. Orang yang memiliki cita-cita ini termasuk orang yang rugi, kerana dia telah dilalaikan oleh harta benda dan anak-anak dari mengingati Allah.

Nanti apabila maut datang menjemputnya dan ia pun melihat keadaan akhirat dengan mata kepala sendiri, baru ia akan memohon kepada tuhan sebagaimana diceritakan oleh Allah: “Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – kesuatu masa yang sedikit sahaja lagi”. ( Surah Al-Munafiquun : 10)

Setengah ulama berkata: “sekiranya seluruh dunia dimiliki oleh orang itu, yang mana dengannya ia boleh membeli waktu satu jam untuk menambah umurnya supaya ia dapat bermunajat kepada Tuhan, nescaya ia akan melakukannya.

Sama-samalah hayati wahai saudara seagamaku.

والله أعلم.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...