Sirih Pulang ke Ganggang
Lot 2701 Cherang Sepulai, Selasa 12 Rabiulawwal 2011 / 15 Febuari 2011.
Mentari pada siang tanggal ini menyiram sinar dengan senyum ramahnya. Sesekali ada rintik hujan merenyai di celahan cahaya pijar bagai gugusan butiran mutiara indah nian. Tanggal ini cukup bermakna bagi Usratulimtiaz, lebih-lebih lagi aku yang sekian lama bernafas sendirian, tanpa sahabat-sahabat seusrah yang selama ini berkongsi ketawa di saat kegembiraan dan berkongsi tagisan dalam setiap kedukaan.
Liqa usrah yang kita adakan kali ini amat istimewa seistimewa tanggalnya.. sengaja atau kebetulan.. tapi itulah indahnya sebuah ukhuwwah yang subur di hati antara kita. Tiada siapa menjangka.. di tanggal ini kita yang jauh terpisah antara benua, yang dekat direnggang tugas dan kesibukan.. telah dipertemukan Allah dalam usrah kita yang semakin senja. Kita bukannya punya waktu untuk duduk-duduk menyulam kemesraan, bersapa khabar dan bercerita seperti suatu waktu dahulu. Malah terlalu sukar untuk kita sepakati tarikh bagi mengadakan liqa.. kerana ia bukan lagi menjadi suatu keutamaan buat kita barangkali. Bagai hidup segan mati tak mahu, rasanya begitulah hakikatnya. Aku rasa ia sudah berada di penghujung usianya.. pun aku masih mengimpikan ia berakhir dengan kesudahan yang indah.. walaupun aku sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana.
Selamat kembali kepada anak-anakku dari al Azhar; Abe, Mad, Roji, Jami, Wae, Aqim, Har, Haliz, Saif, Muhsin, Asif dan Zamri, terima kasih kerana sanggup meluangkan waktu untuk hadir walaupun baru sahaja tiba di tanah air. Tahniah juga buat anak-anakku dari KUIN Kedah; Baqi, Khalid, Udin, Mere, Izat, Fahmi, Kero dan Daus, anak-anakku di Yaakubiah; Baqi, Cheq, Pakcik, Din, Syafiq, Afiqullah, senior yang masih setia dengan Usratulimtiaz; ustaz Fadhil dan Uar dan semua yang hadir yang tak tersebut namanya di sini. Antum Khiarul akhyar... semoga akan terus beristiqamah dengan kerja-kerja tarbiah dan jamaah.
Perbincangan kali ini adalah sekitar sejarah perjuangan Rasulullah dan issu kebangkitan golongan muda yang telah mengubah langskar politik di beberapa negara terkini khususnya yaang sedang marak di Tunisia dan Mesir sehingga berjaya memaksa kuasa pemerintah yang berpuluhan tahun berkuku besi meninggalkan takhta.
Semoga pertemuan sebegini bukanlah yang terakhir, malah menjadi bukti mengukuh keyakinan bahawa selagi ada ukhuwwah di hati, selagi ada rindu di ingatan.. suatu masa kita pasti bersatu jua.. mungkin bukan pada jasadnya.. namun hati dan fikrah kita tetap satu bersatu.
0 comments: