KEJAYAAN ITU ANUGERAH
Keputusan Piala FA semalam amat mengecewakan hati setiap penyokong The Red Warriors, tinggal cuma beberapa saat sahaja masa perlawanan ditamatkan dengan Kelantan 1 Terengganu 0, tiba-tiba suatu keajaiban berlaku, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan di saat nyawa telah berada di halkum, dan lebih sadis lagi bila dalam masa tambahan Terengganu sekali lagi berjaya membolusi pertahanan Kelantan dan seterusnya berjaya menjulang piala FA musim ini.
Apapun yang lebih penting bagi kita adalah pengajaran di sebalik semua yang terjadi itu. Bahawa kejayaan itu adalah anugerah daripada Allah, bukannya ditentukan oleh ukuran kekuatan yang ada pada diri kita semata-mata. Kita diberi sedikit kuasa dan usaha oleh Allah untuk membuat apa sahaja persediaan dan kelengkapan untuk menghadapi apa sahaja ujian perjuangan. Selebihnya adalah doa dan tawakkal kepadaNya.
Pengalaman hidup di kampung sebagai anak petani sewaktu zaman kanak-kanak cukup jelas mengajar penulis untuk melihat dan menilai, setiap usaha yang dilakukan dengan penat dan lelah belum pasti menjanjikan kejayaan. Kami bermati-matian memerah keringat di bawah terik matahari, bertilamkan tanah berbumbungkan langit, mengusahakan tanah menam sayur, tembikai, tembakau dan apa sahaja mengikut musim. Tanaman tumbuh dengan subur, menghijau dan berbuah. Kami mula menghitung dan mengira untung jualan hasil tanaman. Cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi hasil tanaman hendak dituai, tiba-tiba Allah turunkan hujan dari langit mencurah-curah dan akhirnya menenggelamkan tanaman yang subur. Kami hanya berputih mata melihat apa yang terjadi tanpa berdaya menahan ketentuan. Rezki itu datangnya daripada Allah, bukan kita yang tentukan banyak atau kurang.
Sama halnya dalam kita belaajar dan menempuh peperiksaan. Boleh jadi kita sudah sedaya upaya berusaha, namun hasilnya tidak sebagaimana yang kita impikan.. ya kejayaan itu Allah jua yang tentukan.
Kita perlu bermuhasabah atas apa yang berlaku. Kadang-kaadang kita mudah merasa selesa bila melihat kejayaan sedang menghampiri, lalu kita lalai dengan rasa keselesaan itu. pada hal usaha dan kegigihan itu perlu berterusan hingga ke garisan penamat, seperti lakunya seorang pelari pecut yang pasti akan menggunakan semeksima kudrat yang ada di saat-saat menghampiri garisan penamat, sekalipun lawan telah jauh ketinggalan di belakang.
Perjuangan itu tidak pernah ada masa untuk rehat, setiap detik adalah waktu untuk bekerja, merancang dan memikirkan bagaimana untuk mencapai matlamat (goal) perjuangan. Semakin hampir kepada matlamat, semakin hebat tenaga dikerahkan. Hidup dalam perjuangan umpama pelari pecut di padang pertandingan. Namun di celah-celah usaha dan kerja yang dilakukan, kita perlulah mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menghalang kita tiba kepada matlamat, pastinya disebabkan tiada restu dan izin daripadaNya.
Banyak contoh daripada sirah dan sejarah, kerana tidak sabar dengan harta rampasan perang, pasukan pemanah yang ditempatkan di atas bukit Uhud telah meninggalkan tempatnya kerana menyangka tentera musuh telah kalah dan berundur, perkara yang menjadi sebab utama kekalah tentera Islam dalam Peperangan Uhud.
Begitulah halnya dalam kita melakukan amal kebajikan, jangan sekali-kali terdetik di dalam hati atau fikiran merasakan sudah cukup baik atau banyak yang telah kita lakukan. sebaliknya kita perlu terus berusaha melakukan amal kebajikan itu tanpa henti dan rasa cukup sehinggalah kita dipanggil menemui Allah.
Gerun dan gundah sekali saat kita membaca sedutan daripada sepotong hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:" Baginda menyebut tentang seorang lelaki yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga dia telah hampir kadar sejengkal sahaja lagi kepada syurga itu, tiba-tiba telah telah mendahuluinya akan suratan amalan, lalu beliau melakukan amalan ahli neraka lalu dia mati dan dicampakkan dia ke dalam neraka. Seorang lelaki lain pula beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia telah hampir kadar sejengkal sahaja lagi kepada neraka, tiba-tiba telah mendahuluinya akan suratan amalan, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu ia mati dan ia telah dimasukkan ke dalam syurga".
Ya Allah! jadikan husnul khatimah penyudah dalam segala urusan kami, kejayaan dan kemenangan itu adalah milik mutlakMu.. maka kami mohon daripadaMu agar kami termasuk dalam golongan hamba-hambaMu yang berjaya di dunia dan akhirat.
Ya Allah! jadikan husnul khatimah penyudah dalam segala urusan kami, kejayaan dan kemenangan itu adalah milik mutlakMu.. maka kami mohon daripadaMu agar kami termasuk dalam golongan hamba-hambaMu yang berjaya di dunia dan akhirat.
0 comments: