Solat Kita
PERNAHKAH
kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau
pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?
Pernahkah
kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri
kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.
Lawan
lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham
apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.
Kalau
tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta,
takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.
Lalai
dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:
1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah
ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung
dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan
Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai
dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang
diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia
.
3. Boleh ikut dan menyorot apa yang
dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan
dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap
lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati,
masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.
4. Boleh faham segala apa yang dibuat,
dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak
baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang
kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat
tahu atau faham.
5. Faham akan segala apa yang dibaca dan
dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada
sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi
masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi
rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.
6. Sembahyang yang tidak lalai itu
ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu
rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan,
bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang
tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.
Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat
sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam
sembahyang.
Sebab
itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru
berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak
sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.
Rasa-rasa
ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita
tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja, kita tidak akan dapat
rasa khusyuk.
Paling
tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu
dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid,
bukan yang berjiwa tauhid.
Mengenal
Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan
barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita
kerana kenal itu perkara hati.
Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita
tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan
dapat rasa khusyuk.
Ada
hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita
tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh
khusyuk.
Selagi
kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum
berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam
secara lahir dan batin.
Mungkin
kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk,
tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan
batinnya.
Oleh: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh
0 comments: