Isnin, 25 Jun 2012

Road To Ramadhan : Syaaban, Persediaan Menanti Ramadhan.



Assalamualaikum…..

Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk meneruskan tugas kita di muka bumi ini sebagai khalifahNya. Perasaan di hati semakin riang dan girang kerana bulan yang dinanti-nanti akan tiba kurang sebulan lagi. Akan tetapi, untuk sampai ke bulan Ramadhan, kita perlu menempuhi sebulan penuh Bulan Syaaban.

 Begitulah lumrah hidup ini, untuk sampai kepada sesuatu, perlu menempuhi sesuatu yang lain terlebih dahulu. Seseorang perlu menempuhi alam kanak-kanaknya terlebih dahulu sebelum sampai ke alam remaja dan alam seterusnya. Begitulah sunnatullah.

 Firman Allah SWT:
سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا

Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu. (Al-Ahzab: 62)

Sekarang kita berada di bulan Syaaban. InsyaAllah, dengan izinNya, kita akan berbicara sedikit sebanyak mengenai bulan ini; asal namanya, fadilat yang terkandung di dalamnya, amalan yang diutamakan oleh Rasulullah SAW di dalamnya dan lain-lain lagi.

 Kenapakah dinamakan Bulan Syaaban?

قال الحافظ ابن حجر رحمه الله تعالى:  "وسمي شعبان لتشعبهم في طلب المياه أو في الغارات بعد أن يخرج شهر رجب الحرام وهذا أولى من الذي قبله".

Telah berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar : “ Dan dinamakan Syaaban kerana mereka (orang arab) berpuak-puak dalam meminta air atau dalam peperangan selepas berlalunya bulan Rejab Al-Haram, dan ini adalah lebih utama daripada yang sebelumnya”.
 (Fathul Bari : 213/4)

Kelebihan Bulan Syaaban

Setiap bulan yang kita lalui mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Disebut di dalam hadis-hadis Nabi SAW bahawa amalan hamba-hamba  Allah SWT akan diangkat olehNya pada bulan ini. Sabda Rasulullah SAW: 

عن أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ رضي الله عنهما قَال : "قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ ؟ قَالَ : ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِم".

Dari Usamah bin Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”.
 (riwayat An-Nasaie).

Hukum berpuasa di Bulan Syaaban

Di dalam entry yang lepas, kami telah menyebut bahawa tidak dikhususkan sebarang puasa untuk Bulan Rejab. Sebaliknya di bulan Syaaban, kita disunatkan memperbanyakkan puasa.  Hal ini kerana nabi kita Muhammad SAW memperbanyakkan puasa Baginda SAW apabila tiba bulan Syaaban. Hal demikian diceritakan di dalam hadis-hadis Baginda SAW: 

عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها قالت : مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ فِى شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَامًا فِي شَعْبَانَ.(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh, kecuali Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya ketika bulan Syaaban”.
 (HR. Bukhari & Muslim)

عن أم سلمة رضي الله عنها قالت : "ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شهرين متتابعين ، إلا أنه كان يَصِلُ شعبان برمضان" رواه النَّسائي وأبو داود والترمذي وابن ماجة وأحمد

Maksudnya: “Aku belum pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadhan”.  (HR. Nasaie, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah)

عن عائشة رضي الله عنها قالت : "كان أحبَّ الشهور إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يصومه شعبانُ ، ثم يصله برمضان"  رواه النَّسائي  وأحمد والطبراني 

Maksudnya: “Bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa di dalamnya adalah bulan Syaaban kemudian disambungkan dengan Ramadhan.” 
 (HR. Nasaie, Ahmad & At-Tabarani)

Kita dituntut berpuasa di bulan Syaaban sebagai persediaan kita menempuhi puasa di bulan Ramadhan. Selain persediaan dari segi pengetahuan kita terhadap hukum-hukum yang berkaitan puasa Ramadhan, jasmani kita juga harus bersedia untuk menempuhi puasa di bulan Ramadhan. Salah satu persediaan ialah dengan melatih diri  kita berpuasa semampu mungkin di bulan Syaaban. Apabila sampai bulan Ramadhan, badan kita tidak merasa letih pada hari pertama kita memulakan puasa.

Puasa Sunat Selepas Pertengahan Bulan Syaaban

Apabila sampai pertengahan bulan Syaaban, sering kali kita mendengar persoalan-persoalan berkaitan puasa Nisfu Syaaban (akan dibincangkan dalam entry yang akan datang) dan puasa selepas pertengahan bulan Syaaban. 

Sabda Rasulullah SAW:

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

Maksudnya: “ Apabila setelah pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa”. (HR Abu Daud & Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

إذا بقي نصف من شعبان فلا تصوموا

Maksudnya: “Jika sudah tinggal setengah bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Ibnu Majah)
                                         
إذا كان النصف من شعبان فلا صوم حتى يجيء رمضان

Maksudnya: “ Apabila telah berada pada pertengahan bulan Syaaban maka tidak ada lagi puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan. (Riwayat Ahmad & Darimi)

Ketiga-tiga hadis ini diperdebatkan oleh para ulama hadis tentang statusnya. Terdapat ulama yang mensahihkannya dan terdapat juga ulama yang mendo’ifkan hadis ini. Ada yang menyatakan hadis ini berstatus mungkar kerana bersalahan dengan hadis yang sahih dan kuat tentang Rasulullah SAW menyambung puasa Syaaban kepada puasa bulan Ramadhan dan hadis yang melarang mendahulukan puasa bulan Ramadhan dengan dua hari atau satu hari puasa.

Jamhur ulama berpendapat bolehnya puasa sunat setelah pertengahan bulan Syaaban, dan mereka menda’ifkan hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Syaaban.

Syeikh Atiah Saqor  (الشيخ عطية صقر)menyatakan dibolehkan berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban bagi mereka yang telah berpuasa sebelum pertengahan bulan Syaaban. Dan haram atau makruh bagi mereka yang berpuasa selepas pertengahan Syaaban tanpa didahului dengan puasa sebelum pertengahan Syaaban sebagaimana diharamkan berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan sebagaimana hadis Nabi SAW:

لا تقدَّموا -تتقدموا- صوم رمضان بيوم ولا يومين ، إلا أن يكون صوم يصومه رجل فليصم ذلك اليوم 
.
Maksudnya: “Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali orang yang sudah terbiasa puasa sunat, maka silakan dia melaksanakannya.”
 (HR. Bukhari dan Muslim)

Wahai sahabat-sahabat sekalian, rebutlah peluang beribadat sebanyak-banyaknya dikala nyawa masih lagi dikandung badan agar kita diredhai oleh Allah SWT dan mendapat syafa’at dari Rasulullah SAW, serta tidak menjadi orang yang rugi di akhirat nanti. Moga Allah SWT memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan, InsyaAllah.

 Wallahu A’lam Bissowab.

0 comments:

Ahad, 17 Jun 2012

Road To Ramadhan: Peristiwa Isra' & Mi'raj


Assalamualaikum wbt wht.

Semoga semua sahabat sekalian berada dalam keadaan sihat hendaknya.

Sedar tak sedar, kita sudah berada di penghujung bulan Rejab. Bagaimana berlalunya masa kita sepanjang sebulan ini? Bersama muhasabah diri.

Apabila sampai akhir bulan Rejab khususnya hari 27 Rejab, perkataan Isra’ dan Mi’raj akan terbit di bibir-bibir kita, para ustaz akan dijemput untuk bercerita sedikit sebanyak mengenai peristiwa agung ini. Alhamdulillah ini menunjukkan bahawa kita peka terhadap peristiwa ini.

Sebelum kita bercerita panjang mengenai peristiwa agung ini, eloklah kita mengenali secara ringkas maksud Isra’ dan Mi’raj dari sudut bahasa. 

Perkataan Isra’ dan Mi’raj mempunyai maksud yang berbeza. Perkataan Isra’ ( (الإسراءberasal dari perkataan (سرى) yang membawa maksud berjalan malam. Perkataan (الإسراء) merupakan kata infinitif bagi kata kerja (أسرى) yang juga membawa maksud berjalan malam. Akan tetapi terdapat perbezaan antara dua kata kerja ini. Perkataan (سرى) merupakan kata kerja tak transitif manakala perkataan (أسرى) merupakan kata kerja transitif.

Manakala perkataan (المعراج)  pula berasal dari perkataan (عرج) yang membawa maksud naik. Perkataan (المعراج ) merupakan kata nama alat bagi perkataan (عرج) yang membawa maksud alat yang digunakan untuk naik iaitu tangga (السلّم).

Manakala dari segi istilah, Isra’ ialah perjalanan Nabi SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestine dengan menaiki binatang yang dikenali sebagai Buraq. Mi’raj pula bermaksud perjalanan naik Nabi SAW ke langit dengan menggunakan dengan menggunakan satu alat khusus yang dipanggil mi’raj iaitu tangga.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan dua peristiwa ghaib yang telah berlaku ke atas nabi kita Muhammad SAW dengan izin Allah SWT sebagai  mana telah disebut dalam Al-Quran dan hadis SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang sangat panjang dari Anas Bin Malik: 

‘Jibril membawakan kepadaku seekor ‘Buraq’ iaitu sejenis haiwan berwarna putih, lebih panjang dari keldai dan lebih pendek daripada Baghal. Ia dapat melompat sejauh saujana mata memandang. Aku tunggangi haiwan itu sampai ke Baitul Maqdis. Sampai di sana haiwan itu kutambatkan di tambatan yang biasa digunakan para nabi.

Kemudian aku masuk ke dalam masjid dan solat di situ dua rakaat. Setelah aku keluar, Jibril datang membawa dua buah bejana, yang satu berisi khamar (arak) dan yang satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Kata Jibril ‘Anda memilih yang benar’.

Kemudian kami di bawa ke langit. Lalu Jibril minta supaya di bukakan pintu. Jibril ditanya ‘ Anda siapa?’ Sahut Jibril ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’ Jawab: ‘Muhammad’. Tanya: ‘Sudah diutuskan dia (menjadi rasul)?’ Jawab: ‘Ya, benar, dia sudah diutus!’. Setelah itu baru pintu di bukakan untuk kami. Tiba-tiba kami berjumpa Adam. Beliau mengucapkan ‘Selamat datang’ kepadaku serta mendoakan semoga beroleh kebaikan.

Kemudian kami naik ke langit kedua. Jibril AS meminta dibukakan pintu. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Setelah itu baru pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba kami bertemu dengan dua orang anak dan pakcik, iaitu Isa anak Maryam dan Yahya bin Zakaria alaihimassalam. Keduanya mengucapkan selamat datang kepadaku., serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan.

Kemudian aku dibawa ke langit ketiga. Jibril meminta pula dibukakan pintu. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Lalu pintu di bukakan bagi kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Yusuf AS yang kecantikannya seperdua dari seluruh kecantikan yang ada. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku beroleh kebaikan.

Sesudah itu kami di bawa ke langit keempat. Jibril AS meminta supaya dibukakan pula. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Setelah itu barulah pintu di bukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu Idris AS. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan. Firman Allah swt: ‘Kami yang naikkan dia (Idris) ke tempat yang tinggi.’ -surah Maryam ayat 57.

Kemudian kami naik ke langit kelima.  Jibril AS meminta supaya dibukakan pula. Lalu dia ditanya: ‘Siapa anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Setelah itu pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Harun AS. Dia mengucapkan selamat kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan.

Kemudian kami naik ke langit keenam. Lalu Jibril minta supaya dibukakan pintu. dia ditanya: ‘Siapakah anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad ‘. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Sesudah itu barulah pintu di bukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu Musa as. Dia mengucapkan selamat datang kepadaku, dan mendoakan semoga aku mendapat kebaikan.

Kemudian kami naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan pula pintu. Dia ditanya: ‘Siapakah anda?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril’. Tanya: ‘Siapa bersama anda?’. Jawab: ‘Muhammad SAW’. Tanya: ‘Apakah dia sudah diutus?’. Jawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’ Sesudah itu, lalu pintu dibuka untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu Ibrahim as sedang bersandar ke Baitul Makmur, di mana 70000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ.

Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, mendapatkan sebatang pohon yang daunnya seperti telinga gajah, dan buahnya sebesar kendi. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah SWT, ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah SWT menurunkan wahyu kepadaku, mewajibkan solat 50 kali sehari semalam.

Sesudah itu aku turun ke tempat Musa AS. Musa bertanya :’Apa yang telah diwajibkan Tuhanmu kepada umatmu?’ Jawabku: ‘Solat 50 kali’. Kata Musa: ‘Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan, kerana umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Aku sendiri telah mencuba terhadap Bani Israil.’ Kata nabi SAW: ‘Aku kembali kepada Tuhanku, lalu aku memohon: ‘Ya Tuhan, Berilah umatku keringanan.’ Maka Allah menguranginya lima. Sesudah itu aku kembali kepada Musa. Kataku: ‘Allah menguranginya lima’. Kata Musa: ‘Umatmu tidak akan sanggup menunaikannya sebanyak itu. Kerana itu kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan.’ Kata Nabi SAW selanjutnya: ‘Aku jadi berulang-ulang pulang pergi antara Tuhanku Tabaraka wa Taala dengan Musa, sehingga akhirnya Allah berfirman: ‘Kesimpulannya ialah solat lima kali sehari semalam.’ Bagi tiap-tiap satu kali solat, sama nilainya dengan sepuluh solat. maka jumlah nilainya lima puluh juga. Dan siapa yang bermaksud hendak berbuat kebajikan, tetapi tidak dilaksanakannya, dituliskan untuknya (pahala) 1 kebajikan. Apabila dilaksanakannya, maka ditulis baginya (pahala) 10 kebajikan. Dan siapa bermaksud hendak berbuat kejahatan, tetapi tidak dilaksanakannya, tidak akan ditulis apa-apa baginya. tetapi jika dilaksanakannya, maka di tulis baginya balasan 1 kejahatan. Sesudah itu aku turun kembali ke tempat Musa AS. Lalu aku menceritakan kepadanya apa yang difirmankan Tuhanku itu. Kata Musa: ‘Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan.’ Jawab Rasulullah SAW: ‘Aku telah berulang kali kembali kepada Tuhanku meminta keringanan, sehingga aku malu kepada-Nya.’ (Muslim) 

Dalam hadis yang (Sahih Bukhari, Kitabul Tauhid) lain diceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh Jibril AS dan dibelah dada Baginda SAW untuk dicuci dengan menggunakan air zam-zam. Setelah selesai Jibril AS membasuh dada Baginda SAW, Baginda SAW meneruskan perjalanan –Isra’- ke Baitul Maqdis dengan menaiki Buraq.

Terlalu banyak hadis yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini. Kalau pembaca semua tidak keberatan, bolehlah belek kitab Tafsir Ibnu Kathir. Dalam kitab tersebut, Ibnu Kathir (meninggal pada 774h) menceritakan dengan panjang lebar mengenai peristiwa ini dengan mendatangkan dalil-dalil dari Rasulullah SAW. Untuk ayat pertama surah Al-Isra’, beliau telah menulis melebihi  60 muka surat untuk menceritakan peristiwa agung ini.

Bilakah berlakunya Isra’ dan Mi’raj?

Para ulama Islam telah berbeza pendapat berkenaan tarikh berlakunya peristiwa Isra’ & Mi’raj. Terdapat tiga pendapat berkenaan bila berlakunya peristiwa ini:

Pendapat pertama: Pendapat yang paling banyak diberikan oleh ulama Islam iaitu setahun sebelum berlakunya hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Akan tetapi, mereka semua masih lagi berselisih pendapat walaupun telah menetapkan Isra’ dan Mi’raj berlaku setahun sebelum hijrah. Antara mereka mengatakan Isra’ dan Mi’raj berlaku sebulan sebelum hijrah, ada juga yang menyatakan dua bulan sebelum hijrah, ada yang mengatakan lapan bulan sebelum hijrah dan ada juga yang mengatakan sepuluh bulan sebelum hijrah. Manakala pendapat yang popular dalam kalangan ahli-ahli sejarah ialah pada malam 27 Rejab sebagaimana popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Akan tetapi, para muhaddisin, fuqoha’ dan para mufassirin tidak menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku dalam bulan Rejab secara jelas, sebaliknya mereka hanya menyatakan bahawa ia berlaku setahun sebelum hijrah nabi.

Pendapat kedua: berlaku tiga tahun sebelum hijrah.

Pendapat ketiga: lima tahun sebelum hijrah.

Walau sebanyak mana pun pendapat para ulama mengenai tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj, tugas kita ialah meyakini bahawa peristiwa agung yang melibatkan Rasulullah SAW ini benar-benar berlaku sebagaimana yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Adakah peristiwa ini hanya berlaku sekali sahaja atau berulang-ulang?

Para ulama telah berselisih pendapat tentang perkara ini:

Pendapat pertama: Peristiwa ini hanya berlaku sekali sahaja.

Pendapat kedua: Isra’ nabi dari Mekah ke Palestin berlaku dua kali manakala Mi’raj nabi hanya berlaku sekali. Inilah pendapat yang dipilih oleh Al-hafiz Ibnu Hajar.

Pendapat ketiga:  Isra’ berulang sebanyak tiga atau empat kali manakala Mi’raj hanya berlaku sekali. Antara ketiga-tiga pendapat ini, pendapat pertama adalah yang aula (utama) untuk dipegang berdasarkan ayat pertama Surah Isra’.

Satu persoalan lagi untuk ditimbulkan. Adakah peristiwa ini berlaku di dalam mimpi Nabi SAW, atau berlaku ke atas jasad Nabi SAW sahaja atau berlaku ke atas jasad dan roh Nabi SAW atau ke atas roh Nabi SAW sahaja? 

Para sahabat telah berselisih pendapat dalam menetapkan perkara ini. 

Pendapat pertama : Ada dalam kalangan mereka yang menyatakan peristiwa ini hanya berlaku pada roh Nabi SAW sahaja. 

Pendapat kedua : Berlaku ke atas jasad dan roh Nabi SAW. Inilah yang paling banyak disepakati oleh Ahli Sunah.

Tiada seorang pun daripada para sahabat yang menyatakan peristiwa Isra’ dan mi’raj berlaku di dalam mimpi Nabi SAW.

Ada ke amalan khusus untuk peristiwa Isra’ dan Mi’raj?

Kita sedia maklum tidak ada sesuatu yang pasti dalam penentuan tarikh Isra’ dan Mi’raj. Cumanya pendapat ini telah masyhur dan diketahui di kalangan umat Islam semenjak kurun-kurun mereka memperingati Isra’ dan Mi’raj pada malam 27 Rejab. Dalam keadaan tidak berlaku pada malam tersebut (pada ketika itu) sebarang amalan atau ibadah. Malam Isra’ dan Mi’raj ini tidak disyariatkan untuk kita mengkhususkannya dengan bangun malam atau berpuasa pada siang harinya.

Telah berkata Ibnu Qayyim Aljauziyyah (w.751H): “ Telah berkata Ibnu Taymiyyah (w.728H) : dan tidak diketahui daripada kaum Muslimin yang menjadikan malam Isra’ kebaikan dari selainnya, khususnya malam Al-Qadar, dan para sahabat dan para tabiin tidak mengkhususkan untuk malam Isra’ dengan sesuatu perkara dan tidak menyebutnya, dengan ini, tidak diketahui malamnya”.

Tidak dituntut juga daripada seseorang muslim untuk melakukan apa-apa amalan yang khusus untuk mendekatkan diri kepada Allah pada malam atau pada siang hari tersebut. Kerana itu umat Islam dahulu tidak memberi tumpuan kepada malam Isra’ dan Mi’raj.

Persoalan menyambut hari Isra’dan Mi’raj, jika ia dimaksudkan untuk mengambil pengajaran dari peristiwa yang agung ini dan apa-apa kesannya dalam kehidupan Nabi SAW adalah tidak mengapa.

Perkara ini penting untuk kita ambil pengajaran dan iktibar darinya, selama-mana tidak timbul darinya sebarang amalan atau ibadat yang khusus. Jika demikian tidak ada sebarang halangan untuk kita menyambut peristiwa ini. Menyambut sesuatu juga membawa maksud mengambil berat dan memberi perhatian kepadanya, yakni perkara itu tidak dilupakan dan tidak ditinggalkannya.

Maka kita menyambut yakni mengambil berat tentang perkara Isra’ dan Mi’raj ini terutama pada perkara yang penting iaitu berkaitan Masjid al-Aqsa, sebagai tempat penghujung Isra’ dan permulaan Mi’raj. Isra’ tamat di masjid al-Aqsa dan Mi’raj bermula di masjid al-Aqsa hingga naik ke langit yang tinggi.

Maka kita perlu memerhatikan keadaan umat Islam pada masa sekarang di Masjid al-Aqsa yang ditawan dalam genggaman Yahudi. Sedangkan manusia lalai dari perkara utama ini, perkara yang paling utama nisbahnya bagi umat Islam pada masa kita sekarang ialah persoalan Palestine, dan persoalan lain yang melibatkan kekejaman orang-orang kafir terhadap umat Islam seperti di Syiria, Iraq, dan sebagainya.

Pengajaran dari peristiwa Isra’ & Mi’raj

Melalui peristiwa agung ini, kita boleh fokuskan kepada dua perkara yang tersangat penting iaitu: perkara yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa dan perkara kedua ialah pensyariatan sembahyang lima waktu.

Sebagaimana yang kita tahu, Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama kaum Muslimin sebelum Allah SWT memerintahkan Nabi SAW memindahkan kiblat ke Masjidil Haram. Ini menunjukkan hubungan yang erat antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa sebagaimana disebut tentangnya di dalam ayat pertama Surah Al-Isra’. 

Akan tetapi, keadaan Masjidil Aqsa pada saat ini tidak seperti dahulu. Semuanya dikawal ketat oleh Yahudi laknatullah. Umat Islam di sekitar Masjid Al-Aqsa dihalang untuk beribadat di dalamnya terutamanya golongan muda. Selain itu, umat Islam di sana ditindas oleh Zionis yang tidak berperikemanusiaan.
Oleh itu, menjadi satu tuntutan kepada kita untuk menghalang gerakan dan kemaraan Zionis dalam menjatuhkan Islam sama ada di bumi Palestine mahupun di dunia amnya.

Pengajaran yang kedua ialah pelaksanaan sembahyang lima waktu sehari semalam. Ia merupakan tiang bagi agama yang tercinta ini dan merupakan perkara pertama yang dihisab oleh Allah kelak. Tuntutan peri penting pelaksanaannya dapat dilihat melalui cara Baginda SAW mendapat perintah kewajipan melaksanakannya iaitu secara terus daripada Allah. Kepentingan solat tidak dapat disangkal lagi oleh setiap muslim. Bahkan hari demi hari, para saintis menjumpai kelebihan ibadat solat sama ada dari segi spritual mahupun fizikal.

Telah jelas lagi bersuluh. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita seorang muslim yang mukalaf untuk mempercayai peristiwa agung ini. Tidak hanya sekadar berkata-kata, bahkan perlu diteguhkan kepercayaan di dalam hati tanpa sebarang syak dan rasa sangsi.

Semoga kita semua diteguhkan iman dalam meyakini segala perkara ghaib yang telah diceritakan Allah SWT melalui Al-Quran mahupun melalui perantaraNya iaitu Muhammad SAW.

Semoga dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini dan untuk terus beribadat kepadaNya. Wallahu A’lam.

0 comments:

Jumaat, 1 Jun 2012

Road To Ramadhan : Ada Ke Amalan-amalan Khusus di Bulan Rejab??


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kita telah pun berada di minggu ke-2 bulan Rejab. Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi peluang kepada kita untuk menghirup segala nikmat yang disediakan olehNya.

Ramadhan semakin menghampiri kita. Begitu jugalah kita, akan terus bersemangat dalam beribadat sebagai persediaan menjelang Ramadhan. Akan tetapi, dalam usaha kita beribadah di bulan ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya, ada ke amalan-amalan khusus di bulan Rejab?

Hakikatnya, tiada amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab yang diarahkan oleh Allah SWT atau Rasulullah SAW mahupun yang diamalkan oleh sahabat dan para salafus soleh untuk dilakukan oleh umat Islam sempena kedatangan bulan Rejab.

Akan tetapi, disebabkan keterujaan sesetengah pihak dalam beribadat, mereka melaksanakan amalan tanpa usul periksa dalilnya atau tanpa bertanya kepada yang sepatutnya. Sedangkan kita disuruh oleh Allah SWT supaya bertanya kepada mereka yang sepatutnya, sesuai dengan firmanNya :

Maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri jika kamu tidak mengetahui. (Al-Anbiya: 8, An-Nahl: 43)

Mereka mengada-adakan amalan tertentu yang tiada asal-usulnya di dalam Islam, tidak dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, tidak pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW mahupun oleh para sahabat Baginda SAW.

Firman Allah SWT
وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسْوَدَّةٌ

“Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam”(Surah az-Zumar : 60)

Sabda Rasulullah SAW:
من كذب عليَّ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempat di dalam neraka.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sabda Rasulullah SAW lagi:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو ردّ (متفق عليه) و في رواية لمسلم, , قال رسول الله : من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو ردّ

“Barang siapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami ini yang bukan dari kami, maka dia tertolak”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim-dalam riwayat Muslim: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amal yang tidak sesuai urusan kami, maka ia tertolak”)

قال شيخ الإسلام ابن تيمية :( أما تخصيص رجب وشعبان جميعاً بالصوم ، أو الاعتكاف ، فلم يرد فيه عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء ولا عن أصحابه ، ولا أئمة المسلمين، بل قد ثبت في الصحيح أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يصوم شعبان، ولم يكن يصوم من السنة أكثر مما يصوم من شعبان ، من أجل شهر رمضان. وَأمّا صوم رجب بخصوصه فأحاديثه كلّها ضعيفة بَل موضوعة لَا يعتمد أهل العلم على شيء منها وليستْ منْ الضعيف الَّذي يُرْوَى في لْفضائل بل عامتها مِنْ الْموضوعات الْكذوبات.

“Adapun mengkhususkan bulan Rejab dan Sya’ban untuk berpuasa pada seluruh harinya atau beri’tikaf pada waktu tersebut, maka tidak ada tuntutannya dari Nabi SAW dan para sahabat mengenai hal ini. Juga hal ini tidaklah dianjurkan oleh para ulama kaum muslimin. Bahkan yang terdapat dalam hadis yang sahih (riwayat Bukhari dan Muslim) dijelaskan bahawa Nabi SAW biasa banyak berpuasa di bulan Sya’ban. Dan bginda dalam setahun tidaklah pernah banyak berpuasa dalam satu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban jika hal ini dibandingkan dengan bulan Ramadhan.

Adapun melakukan puasa khusus di bulan Rejab, maka sebenarnya itu semua adalah berdasarkan hadis yang seluruhnya lemah (dho’if) bahkan maudhu’ (palsu). Para ulama tidaklah pernah menjadikan hadis-hadis ini sebagai sandaran. Hadis-hadisnya bukanlah hadis yang memotivasi beramal (fadhilah amal), bahkan kebanyakannya adalah hadis yang maudhu’ (palsu) dan dusta.” (Majmu’ Al-Fatawa, 25/290-291)

Ramai di antara umat Islam yang mengkhususkan puasa dan amalan-amalan lain di bulan Rejab dengan berdalilkan hadis-hadis yang bertaraf dh’if bahkan maudu’. Para ulama tidak menggunakan hadis-hadis ini sebagai hujah bahkan hadis-hadis mengkhususkan amalan tertentu di bulan Rejab adalah hadis yang bertaraf dusta. 

Diriwayatkan bahawa Abu Bakar As-Siddiq apabila beliau masuk dan mendapati keluarganya membeli jag untuk disediakan air dan mereka semua bersedia untuk berpuasa, maka berkata Abu Bakar: apakah halnya ini? Mereka menjawab: Rejab. Maka Abu bakar menjawab: Adakah kamu semua ingin menyamakan dengan bulan Ramadhan? Lalu beliau memecahkan jag tersebut. (Majmu’ Al-Fatawa: 291/25)

Di kesempatan ini, kami akan sertakan beberapa hadis dho’if dan maudu’ berkenaan bulan Rejab yang diambil dari beberapa kitab. Diharap para pembaca dapat merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hadis-hadis di bawah.

Antara hadis dho’if:

حديث : (( إن في الجنة نهراً يقال له رجب ماؤه أشد بياضاً من اللبن وأحلى من العسل من صام يوماً من رجب سقاه الله من ذلك النهر ))

وحديث : (( اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان))

وحديث : (( أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يصم بعد رمضان إلا رجباً وشعبان )).

Antara hadis maudu’ : 

حديث : (( رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي ))

وحديث : (( فضل رجب على سائر الشهور كفضل القرآن على سائر الأذكار ..... 
((
وحديث :((رجب شهر الله الأصم، من صام من رجب يوماً إيماناً واحتساباً استوجب رضوان الله الأكبر))

وحديث:(( من صام ثلاثة أيام من رجب كتب الله له صيام شهر ومن صام سبعة أيام أغلق عنه سبعة أبواب من النار... ))
وحديث :(( من صلى المغرب في أول ليلة من رجب ثم صلى بعدها عشرين ركعة ، يقرأ في كل ركعة بفاتحة الكتاب ، وقل هو الله أحد مرة ، ويسلم فيهن عشر تسليمات ، أ تدرون ما ثوابه ؟ ......قال : حفظه الله في نفسه وأهله وماله وولده ، وأجير من عذاب القبر ،وجاز على الصراط كالبرق بغير حساب ولا عذاب))

وحديث : ((من صام من رجب وصلى فيه أربع ركعات .... لم يمت حتى يرى مقعده من الجنة أو يرى له ))

وحديث :(( من صلى ليلة النصف من رجب أربع عشرة ركعة يقرأ في كل ركعة الحمد مرة ، وقل هو الله أحد عشرين مرة ...... ))

وحديث :(( إن شهر رجب شهر عظيم ، من صام منه يوماً كتب الله له صوم ألف سنة ..........))

Benar Allah SWT dan Rasulnya tidak menetapkan amalan yang khusus di bulan Rejab, tetapi ini bukan bermakna kita tidak perlu melakukan sebarang ibadat di bulan ini atau semua amalan telah tertutup untuk kita amalkannya. 

Jangan sempitkan diri kita dalam beribadat kerana ibadat itu merangkumi semua perkara yang disukai oleh Allah SWT. 

Berkata Syaihkul Islam dalam mentakrifkan ibadat:

الْعبادة هي اسْم جامع لكل ما يُحِبُّه اللَّه ويرضاه : مِنْ الْأقوال والْأعمال الباطنة والظاهرة فالصلاة والزكاة والصيام والْحج وصدق الْحديث وأداء الْأمانة ؛ وبر الْوالدين وصلة الأرحام والْوفاء بالْعهود والأمر بالمعروف والنهي عن الْمنكر . والْجهاد للكفار والمُنافقين والْإحسان إلى الجار واليتيم والمسكين وابن السبيل والمملوك مِنْ الْآدميين والْبَهائم والدعاء والذكر والقراءة وأمثال ذلك من العبادة . وكذلك حب اللَّه ورسوله وخشية اللَّه والْإنابة إليه . وإخلاص الدين له والصبر لِحكمه والشكر لنعمه والرضا بقضائه ؛ والتوَكل عليه والرجاء لرحمته والْخوف لعذابه وأمْثال ذلك هي مِنْ الْعبادَةِ لِلَّهِ 
.
Maksudnya: Ibadat ialah sesuatu yang merangkumi semua perkara yang disukai dan diredhai oleh Allah SWT: daripada kata-kata dan amalan-amalan yang tersembunyi dan yang zahir seperti sembahyang, zakat, puasa, menunaikan haji, bercakap benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, menghubungkan silaturahim, menepati janji, melakukan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar, jihad terhadap orang-orang kafir dan munafik, berlaku baik terhadap jiran, orang yatim, orang miskin, orang dalam perjalanan, hamba-hamba, dan binatang-binatang, berdoa, zikir, membaca dan contoh-contoh lain daripada ibadat. Begitu juga mencintai Allah dan rasulnya, takut kepada Allah SWT dan meminta pertolongan dariNya. Ikhlas dengan agamaNya, sabar dengan hukumNya, bersyukur dengan segala nikmatNya, redha dengan ketentuanNya, tawakal kepadaNya, mengharapkan rahmatNya, takut kepada azabNya dan contoh-contoh tersebut adalah antara ibadat kepada Allah SWT. (Majmu’ Al Fatawa : 149/10)

Semua ibadat yang disenaraikan oleh Ibnu Taimiyyah jelas mempunyai dalil. Ia boleh dilakukan dengan hati yang penuh yakin. Tanpa kita perlu memalsukannya atas nama Rasulullah SAW, dan mengada-adakannya. Semuanya boleh kita laksanakan, perhebatkan tanpa sebarang keraguan dan kesamaran. Perlu diingat bahawa setiap ibadat itu ada panduannya, ada mekanisme tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap yang bernama hamba, tidak hanya melakukan sesuatu ibadat secara semberono dan seperti melepaskan batuk di tangga. 

Ingatlah sesungguhnya Allah SWT amat suka akan hamba-hambanya yang bersungguh-sungguh dalam beribadat. 

Semoga setiap amal ibadat yang kita laksanakan merupakan amalan yang sahih dari Al-Quran dan sunah seterusnya melayakkan kita mendapat balasan yang setimpal dari Allah SWT dan dapat menjadi bekalan untuk kita bertemu Allah SWT di hari yang tiada keraguan padanya. 

Semoga kita dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadhan edisi 1433 hijrah ini, InsyaAllah.

 Wassalam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...