Ahad, 13 Disember 2009

Dari Kamar 1215 Hotel Goldcoursa Klang



Lewat petang 9hb Disember 2009, sekali lagi aku menjejak kaki ke lobi Hotel Goldcouse yang terpacak di tepian sungai Klang. Entah untuk kali yang ke berapa, tapi seingat aku dari seawal tahun 2003 lagi. Bagaikan sudah menjadi acara tahunan sejak dari tahun 2003, di akhir tahun begini kami berkumpul untuk melaksanakan suatu tanggungjawab yang penting sebagai keluarga pendidik.

Dari tingkap kaca bilik bernombor 1215, aku dapat melihat sepemandangn mata bandar diraja Kelang yang sesak dengan hutan batu. Deretan kenderaan bertali arus memenuhi jalaran jalanraya. Sungai Kelang mengalir perlahan di celahan kesibukan bandar ini bagaikan seekor ular raksasa yang malas bergerak. Seikhlas aku mengaku, aku tidak pernah menyukai tempat ini, biar pun saban tahun aku menjadi tetamunya. Cuma kali ini ku lihat bandar ini sedikit berseri dengan siapnya Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak hanya sepelarian dari hotel penginapanku. Masjid yang sememangnya indah, sebahagian daripada binaannya mengunjur ke sungai Klang. Bagaikan seorang gadis sedang bertenggek di tebing sungai sambil menjulurkan kakinya ke dalam air.

Memang gembira bila dapat bersua dengan rakan-rakan sekumpulan sekali setahun seperti ini. Dapatlah bertanya khabar tentang apa jua perkembangan selama setahun berlalu. Walau pun kerja-kerja di sini agak memenatkan, namun celoteh dan derai tawa rakan-rakan sekumpulan menyebabkan aku lupa tentang kepenatan.


Dari tingkap kaca ini aku melempar pandangan ke serata arah, sejauh yang mungkin. Adakalanya bila sendirian di kamar begini, kesepian terasa. Lalu ingatan mula datang bertindih terhadap apa yang ditinggalkan nun jauh di sana. Terutamanya terhadap puteri kecilku 'Adik Ba Sayang' lantaran celotehnya yang sentiasa terngiang di telingaku. 'Anak-anak itu adalah permata ayah bonda' aku akui ungkapan itu. Limpahan kasih buat mereka tanpa beza antara. Tanpa mereka tiada serinya hidup sebagai sebuah keluarga. Riuh jerit dan tangis mereka adalah lagu terindah buat kita.
Tidak terlindung dari bayangan mataku, anak-anak kesayangan dalam usrah imtiaz. Satu demi satu wajah-wajah yang ku sayangi hadir bersilih dalam layar ingatanku. Aku rasa sungguh kerdil tanpa mereka. Selama ini merekalah kekuatan bagiku dalam semua perkara. Kata orang tua-tua, satu itu mati, dua itu sakit, tapi tiga dan ramai itu hidup. Maka mereka adalah nyawa kehidupanku. Aku sedar aku tak nampak gagah tanpa mereka, aku tak akan hebat tanpa mereka. Sepertinya seberkas lidi yang tak mungkin dapat dipatahkan, tapi bila diasingkan, sebatang lidi itu terlalu rapuh dan dapat dipatahkan hanya dengan seputung jari. Selama ini aku tahu, yang hebat bukannya aku, yang hebat bukannya salah seorang di kalangan kami, tapi yang hebat sebenarnya adalah kumpulan kami.

0 comments:

Isnin, 16 November 2009

APA YANG KITA CARI? APA YANG KITA ADA?

Hidup ini adalah perjuangan. Setiap yang hidup, tidak kira manusia, binatang atau tumbuh tumbuhan, semuanya perlu berjuang. Samada berjuang untuk hidup, atau hidup mereka adalah untuk perjuangan. Selagi nyawa dikandung badan, urat nadi masih berdenyut dan jantung bisa berdegup, maka perjuangan mesti diteruskan. Bak kata pujangga: "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung".

Persoalannya, apa sebenarnya perjuangan? Dan apa sebenarnya yang kita perjuangkan? Perjuangan itu boleh dilihat dalam 2 pandangan, iaitu pertama berjuang untuk mendapatkan sesuatu yang belum kita miliki, dan kedua berjuang untuk mempertahankan apa yang kita ada.


Pada tahap yang pertama kita perlu berjuang untuk mendapatkan semua yang kita perlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Berjuang untuk mendapatkan makanan, tempat tinggal, kuasa, harta kekayaan dan seumpamanya. Tapi apa yang lebih penting dari segalanya adalah berjuang untuk mencari ilmu. Kerana dengan ilmu sahaja semua yang kita berjuang untuk mendapatkannya menjadi mudah. Justeru itulah dalam Islam menuntut ilmu itu adalah jihad. Menuntut ilmu dalam hidup seorang muslim adalah program sepanjang hayat, bermula dari dalam buaian sehinggalah ke liang lahad. Orang yang menuntut ilmu itu ibaratkan seorang yang meminum air laut, semakin diminum maka semakin haus. Semakin banyak dia pelajari ilmu-ilmu Allah semakin dia rasai kejahilan dirinya. Allah SWT berfirman di dalam surah Luqman yang bermaksud: "
Jikalau semua pokok di atas bumi ini dijadikan pena, dan seluruh lautan lalu ditambah lagi 7 lautan seumpamanya menjadi tinta, pasti tidak cukup untuk menulis ilmu-ilmu Allah, sesungguhnya Allah itu maha berkuasa lagi bijaksana".


Seorang Mukmin itu mestilah bersungguh dan mempunyai rasa tamak terhadap ilmu. Mencari ilmu ibarat berjuang mencari sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: " Ilmu itu merupakan permata yang hilang bagi seorang mu'min, maka di mana jua dia jumpai, maka dia berhak mendapatkannya".

Pada tahap yang kedua ialah berjuang untuk mempertahankan apa yang kita ada. Agama, nyawa, marwah, harta.. semuanya adalah perkara yang kita miliki, tetapi sering menghadapi pencerobohan, samada daripada anasir luar mahupun daripada diri kita sendiri. Lantaran itu mempertahan segala ini daripada pencerobohan juga adalah suatu jihad. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Haram ke atas seorang muslim terhadap muslim yang lain itu darahnya, marwahnya dan hartanya".

bersambung......

Kita sebenarnya bukan mencari sesuatu yang baru dalam hidup, tetapi mencari sesuatu yang telah hilang daripada kehidupan.

0 comments:

Ahad, 8 November 2009

Masa Adalah Kehidupan

Sahabat yang dikasihi...
Antara ni'mat yang sering kali melalaikan kita adalah ni'mat masa lapang. Seseorang yang mempunyai masa lapang dalam kehidupan hariannya adalah seorang yang tidak mempunyai jadual kehidupan. Ingatlah pesanan al Syahid Hasan al Banna: "Sesungguh masa itu adalah kehidupan". Lagi pesanannya: "Sesungguhnya kewajipan dan tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang kita ada". Pesanan ini membayangkan bahawa tidak ada waktu lapang dalam kehidupan seorang mukmin, kerana kehidupannya adalah dipenuhi dengan tugas dan tanggungjawab.
Sahabat yang kusayangi....
Masa muda adalah waktu paling indah dalam sejarah usia kita. Segalanya dirasakan cukup sempurna.. punya impian yang melangit, semangat yang menggunung, tenaga yang banyak, darah yang panas, mimpi-mimpi yang indah. Dari gaya penampilan yang up to date, pakaian, handphone semuanya mahukan yang berjenama, fesyen yang the latest. Yang lelaki mahu dilihat macho, yang perempuan pula mahu dipandang daring dan seksi. Sedangkan keupayaan untuk memiliki semua itu bukanlah semudah angan-angan. Maka untuk memenuhi kehendak gelodak kemahuan itu, mereka sanggup lakukan apa sahaja.
Sahabatku ingatlah peringatan daripada Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud: " Tidak akan berganjak kaki seseorang hamba dari sisi Allah pada Hari Qiamat sehinggalah ditanya kepadanya tentang empat perkara iaitu tentang umurnya ke manakah dia telah habiskan, tentang waktu mudanya ke manakah dia telah pergunakannya, tentang ilmunya bagaimana dia telah beramal dengannya, dan tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia telah belanjakannya". Perhatikan bagaimana setiap detik waktu dalam kehidupan kita akan dipersoalkan di hadapan Allah swt, dan waktu muda disebut secara khusus bagi menunjukkan betapa pentingnya masa di usia tersebut. Waktu muda adalah saat usia yang paling genting, merupakan persimpangan waktu seseorang ingin mencari dan membentuk identiti diri. Betapa sukar di usia ini seseorang itu pertahankan kejituan iman dalam mendepani gelonjak nafsu muda yang hangat membara. Betapa ramai yang jatuh dan tersungkur menyembah nafsu mazmumah. Bersorak gempita Iblis dan para Syaitan meraikan kemenangan demi kemenangan. Di manakah pemuda yang termasuk di kalangan 7 golongan yang dijanjikan Allah swt mendapat bayangan 'ArasyNya di Hari Akhirat?
Sahabatku.. Masa adalah kehidupan. Setiap detik yang berlalu adalah perjalanan usiamu menuju alam kematian. Kalau sudah tahu bahawa di hadapan perjalanan itu ada sungai yang merentangi, maka sediakanlah dayung dan perahu. Kalau sudah tahu bahawa di perjalanan itu ada panas dan hujan, mengapa tidak disediakan payungnya. Dan pastinya setiap kita sudah menyakini dengan iman yang jitu bahawa di sebalik kehidupan di dunia ini, ada lagi suatu kehidupan yang abadi di akhirat sana. Maka isilah masamu sebaiknya, dan rebutlah masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk, dan manfaatkanlah masa hidupmu sebelum datangnya saat kematian.

0 comments:

Sabtu, 7 November 2009

Selamat Bercuti

Assalamu'alaikum buat semua anggota Usrahimtiaz biar di mana kalian berada. Diharapkan semuanya ada kesempatan untuk melayari laman blog usrah kita.
Sedar tidak sedar, kita kini sudah berada di penghujung sesi pengajian 2009. Exam PMR, SMU dan STAM sudah pun selesai, cuma tinggal lagi SPM dan STPM. Tapi tak ada pun rakan usrah yang ambil STPM. Harap-harap semua berpuas hati dengan apa yang dilakukan sepanjang tarikh peperiksaan yang lalu. Pun teruskanlah panjatkan doa agar result yang bakal diperolehi nanti cukup berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan. Insya Allah.
Cuti bukanlah suatu ruang waktu untuk kita berehat daripada mencari ilmu atau melepaskan tanggungjawab sebagai seorang individu pendokong dakwah dan tarbiah. Malah tugas menuntut ilmu, mendidik diri dan membimbing orang lain adalah suatu taklif yang tidak pernah dibatasi masa dan tempat. Bahkan waktu cuti persekolahan merupakan ruang waktu yang lebih fleksibel untuk kita melaksanakan tanggungjawab tersebut, justeru masing-masing tidak lagi terikat dengan peraturan dan displin sekolah.Ingatlah bahawa ilmu itu ibaratkan permata yang hilang bagi setiap mukmin, maka di mana jua ia dijumpai, kitalah yang berhak mengambilnya. Ilmu itu adalah suatu yang terpaksa dicari, bukan suatu yang datang mencari.
Mungkin ada juga di kalangan kita yang merancang mencari pekerjaan, berhijrah ke kota metropolitan. Tak ada salahnya, tapi pandai-pandailah membawa bahtera diri, jangan sampai dihanyutkan badai. Usia muda remaja ini adalah zaman paling subur untuk kita menyemai benih keilmuan di dada. Belum masanya untuk bekerjaya atau mengumpul harta. Peluang hidup sebagai remaja hanya sekali dalam usia. Timbalah ilmu sebanyak mungkin, kerana ilmu nantilah yang akan menjaga kita. Tidak pula seperti harta, kita yang terpaksa menjaganya. Orang yang jahil selalunya berpenat lelah mencari harta, tetapi orang yang berilmu selalu bersenang lenang, kerana harta sentiasa mendatanginya.
Selamat bercuti, semoga anda semua memperolehi sesuatu yang lebih bermakna pada cuti kali ini. Insya Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...