Sabtu, 7 November 2009

Selamat Bercuti

Assalamu'alaikum buat semua anggota Usrahimtiaz biar di mana kalian berada. Diharapkan semuanya ada kesempatan untuk melayari laman blog usrah kita.
Sedar tidak sedar, kita kini sudah berada di penghujung sesi pengajian 2009. Exam PMR, SMU dan STAM sudah pun selesai, cuma tinggal lagi SPM dan STPM. Tapi tak ada pun rakan usrah yang ambil STPM. Harap-harap semua berpuas hati dengan apa yang dilakukan sepanjang tarikh peperiksaan yang lalu. Pun teruskanlah panjatkan doa agar result yang bakal diperolehi nanti cukup berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan. Insya Allah.
Cuti bukanlah suatu ruang waktu untuk kita berehat daripada mencari ilmu atau melepaskan tanggungjawab sebagai seorang individu pendokong dakwah dan tarbiah. Malah tugas menuntut ilmu, mendidik diri dan membimbing orang lain adalah suatu taklif yang tidak pernah dibatasi masa dan tempat. Bahkan waktu cuti persekolahan merupakan ruang waktu yang lebih fleksibel untuk kita melaksanakan tanggungjawab tersebut, justeru masing-masing tidak lagi terikat dengan peraturan dan displin sekolah.Ingatlah bahawa ilmu itu ibaratkan permata yang hilang bagi setiap mukmin, maka di mana jua ia dijumpai, kitalah yang berhak mengambilnya. Ilmu itu adalah suatu yang terpaksa dicari, bukan suatu yang datang mencari.
Mungkin ada juga di kalangan kita yang merancang mencari pekerjaan, berhijrah ke kota metropolitan. Tak ada salahnya, tapi pandai-pandailah membawa bahtera diri, jangan sampai dihanyutkan badai. Usia muda remaja ini adalah zaman paling subur untuk kita menyemai benih keilmuan di dada. Belum masanya untuk bekerjaya atau mengumpul harta. Peluang hidup sebagai remaja hanya sekali dalam usia. Timbalah ilmu sebanyak mungkin, kerana ilmu nantilah yang akan menjaga kita. Tidak pula seperti harta, kita yang terpaksa menjaganya. Orang yang jahil selalunya berpenat lelah mencari harta, tetapi orang yang berilmu selalu bersenang lenang, kerana harta sentiasa mendatanginya.
Selamat bercuti, semoga anda semua memperolehi sesuatu yang lebih bermakna pada cuti kali ini. Insya Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...