Ahad, 8 November 2009

Masa Adalah Kehidupan

Sahabat yang dikasihi...
Antara ni'mat yang sering kali melalaikan kita adalah ni'mat masa lapang. Seseorang yang mempunyai masa lapang dalam kehidupan hariannya adalah seorang yang tidak mempunyai jadual kehidupan. Ingatlah pesanan al Syahid Hasan al Banna: "Sesungguh masa itu adalah kehidupan". Lagi pesanannya: "Sesungguhnya kewajipan dan tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang kita ada". Pesanan ini membayangkan bahawa tidak ada waktu lapang dalam kehidupan seorang mukmin, kerana kehidupannya adalah dipenuhi dengan tugas dan tanggungjawab.
Sahabat yang kusayangi....
Masa muda adalah waktu paling indah dalam sejarah usia kita. Segalanya dirasakan cukup sempurna.. punya impian yang melangit, semangat yang menggunung, tenaga yang banyak, darah yang panas, mimpi-mimpi yang indah. Dari gaya penampilan yang up to date, pakaian, handphone semuanya mahukan yang berjenama, fesyen yang the latest. Yang lelaki mahu dilihat macho, yang perempuan pula mahu dipandang daring dan seksi. Sedangkan keupayaan untuk memiliki semua itu bukanlah semudah angan-angan. Maka untuk memenuhi kehendak gelodak kemahuan itu, mereka sanggup lakukan apa sahaja.
Sahabatku ingatlah peringatan daripada Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud: " Tidak akan berganjak kaki seseorang hamba dari sisi Allah pada Hari Qiamat sehinggalah ditanya kepadanya tentang empat perkara iaitu tentang umurnya ke manakah dia telah habiskan, tentang waktu mudanya ke manakah dia telah pergunakannya, tentang ilmunya bagaimana dia telah beramal dengannya, dan tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia telah belanjakannya". Perhatikan bagaimana setiap detik waktu dalam kehidupan kita akan dipersoalkan di hadapan Allah swt, dan waktu muda disebut secara khusus bagi menunjukkan betapa pentingnya masa di usia tersebut. Waktu muda adalah saat usia yang paling genting, merupakan persimpangan waktu seseorang ingin mencari dan membentuk identiti diri. Betapa sukar di usia ini seseorang itu pertahankan kejituan iman dalam mendepani gelonjak nafsu muda yang hangat membara. Betapa ramai yang jatuh dan tersungkur menyembah nafsu mazmumah. Bersorak gempita Iblis dan para Syaitan meraikan kemenangan demi kemenangan. Di manakah pemuda yang termasuk di kalangan 7 golongan yang dijanjikan Allah swt mendapat bayangan 'ArasyNya di Hari Akhirat?
Sahabatku.. Masa adalah kehidupan. Setiap detik yang berlalu adalah perjalanan usiamu menuju alam kematian. Kalau sudah tahu bahawa di hadapan perjalanan itu ada sungai yang merentangi, maka sediakanlah dayung dan perahu. Kalau sudah tahu bahawa di perjalanan itu ada panas dan hujan, mengapa tidak disediakan payungnya. Dan pastinya setiap kita sudah menyakini dengan iman yang jitu bahawa di sebalik kehidupan di dunia ini, ada lagi suatu kehidupan yang abadi di akhirat sana. Maka isilah masamu sebaiknya, dan rebutlah masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk, dan manfaatkanlah masa hidupmu sebelum datangnya saat kematian.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...