Isnin, 6 Februari 2012

Kekasih Kita Semua..





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….. :)

Alhamdulillah syukur sama-sama kita panjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi peluang kepada kita bernafas di buminya ini. Sedar tak sedar  sekarang kita berada di bulan yang ketiga dalam takwim Islam iaitu bulan Rabiul Awal. Cepatnya masa berlalu. Rasanya baru je kita pasang azam baru pada bulan Muharram yang lepas, sekarang dah masuk bulan Rabiul Awal. 

Rabiul Awal merupakan bulan kelahiran nabi kita Muhammad SAW. Seronok bila tengok ramai sahabat-sahabat yang berlumba-lumba post kat wall facebook masing-masing mengenai junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, tak kurang juga yang buat status kat yahoo messenger. Alhamdulillah, satu petanda bahawa kita mengingati Baginda SAW dan menyayangi Baginda.  Ada juga yang berusaha merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti sempena bulan ini ( kat sini pun sama hehe) untuk menyambut maulid nabi SAW. Maklumlah sekarang dah masuk bulan Rabiul awal. 

Pada entry kali ini, saya ingin memetik firman Allah SWT yang berbunyi:  

قال الله تعالى :

            إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا [٣٣:٥٦]

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"

Rasanya memang kenalah pada masa dan waktunya saya berbicara mengenai ayat ini di bulan yang mulia ini. Saya harap sahabat-sahabat bersemangat  untuk membaca entry ini sebagaimana sahabat-sahabat bersemangat meletakkan post-post yang memang bermanfaat mengenai Kekasih kita SAW. Haaa…jangan lupa selawat ke atas Baginda SAW. 

Berbalik kepada firman Allah SWT di atas, jika diperhatikan betul-betul firman Allah SWT di atas, terdapat beberapa perkara yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada kita semua di dalam firmanNya ini.
Allah SWT memulakan ayat ini dengan menyatakan bahawa Dia dan para malaikatnya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Melalui ayat ini, Allah SWT mendorong kita supaya sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, bagaimana cara berselawat kepada nabi kita SAW???!!! Semuanya telah dijawab oleh Baginda SAW melalui sabda-sabdanya antaranya:

عن كعب بن عُجْرَة قال: قيل: يا رسول الله، أما السلام عليك فَقد عرفناه، فكيف الصلاة؟ فقال: "قولوا: اللهم صل على محمد، وعلى آل محمد، كما صليت على آل إبراهيم، إنك حميد مجيد. اللهم بارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على آل إبراهيم، إنك حميد مجيد" (متفق عليه)
 
وعن أبي حميد الساعدي قال، قالوا: يا رسول الله، كيف نصلي عليك؟ قال: "قولوا: اللهم صل على محمد وأزواجه وذريته، كما صليت على إبراهيم، وبارك على محمد وأزواجه وذريته، كما باركت على آل إبراهيم، إنك حميد مجيد". (متفق عليه

وعن أبي مسعود الأنصاري رضي الله عنه قال: أتاني رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم في مجلس سعد بن عبادة فقال له بشر بن سعد: أمرنا الله تعالى أن نصلي عليك يا رسول الله! فكيف نصلي عليك؟ قال: فسكت رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم، حتى تمنينا أنه لم يسأله، ثم قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: قولوا اللهم صلِّ على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم في العالمين، إنك حميدٌ مجيد، والسلام كما قد علمتم. (رواه مسلم)

 Kita juga selalu mendengar dan menyebut selawat ke atas Nabi SAW. Akan tetapi apakah yang dimaksudkan dengan selawat ke atas nabi? 
 
Kebanyakan saudara kita membaca dan menyebut selawat ini akan tetapi tidak tahu apa yang dimaksudkan dengannya atau apa yang tersirat di sebaliknya.  Ia merupakan satu kesilapan yang mungkin tidak kita sedari. Saya akan rungkaikan sedikit maksudnya untuk pengetahuan kita bersama InsyaAllah. 

Apabila kita berselawat ke atas nabi, seolah-olah kita berdoa : Ya Allah, kau sifatkanlah Nabi Muhammad SAW dengan sifat-sifat yang terpuji, kau sebutkanlah namanya di sisi malaikat sehingga bertambah kecintaan para malaikat terhadapnya, dan kau tambahkanlah kebaikan kepada malaikat dengan sebab cinta dan sayangnya mereka terhadap Nabi Muhammad SAW.

Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu pertama selawat daripada Allah SWT bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya. Kedua selawat daripada malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat Baginda. Manakala yang ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah SWT.

Selepas Allah SWT menyatakan bahawa Dia dan malaikat-malaikatNya berselawat ke atas baginda SAW, Allah SWT datangkan perintah kepada kita semua agar turut sama berselawat dan mengucapkan salam sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Perintah ini dapat dilihat dari firmanNya di atas. Akan tetapi para ulama’ rahimahumullah berbeza pendapat pada hukum berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Adakah wajib berselawat ke atas nabi atau wajib dengan sebab atau tidak wajib (sunat).

Kedudukan selawat ke atas nabi SAW ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut sebilangan besar ulama’. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai ijma’ ulama’. Apa yang diperselisihkan oleh ulama’ ialah adakah selawat itu wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad SAW atau adakah ia sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup).

Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan ia wajib setiap kali disebut nama Rasulullah SAW, dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah SAW dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.

Menurut jumhur ulama dalam masalah ini, selawat ke atas nabi SAW merupakan ibadat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seperti juga zikir, tasbih dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya. Oleh itu, sama-samalah kita perbanyakan selawat ke atas Baginda SAW tak kira masa, ketika, waktu dan tempat.

Ingin saya bawakan beberapa hadis menceritakan kelebihan-kelebihan bagi orang-orang yang berselawat ke atas Baginda SAW.  
  
عن عبد الله بن عمرو بن العاص أنه سمع رسول الله يقول : من صلى علىّ صلاة صلىّ الله عليه عشرا (رواه مسلم)

          
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat atasku sekali maka Allah akan membalasnya dengan sepuluh kebaikan.

وعن عبد الله بن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم علي صلاة (رواه الترمذي وقال :حديث حسن)  
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.

وعن عامر بن ربيعة بإسناد حسن : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ما من عبد يصلي عليّ إلا صلتْ عليه الملائكة ، ما دام يصلي عليّ ، فليقلّ العبد من ذلك أو ليكثر )رواه أحمد)

Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak.
Saya menyeru kepada diri saya dan semua sahabat Usratulimtiaz agar sentiasa memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Janganlah kita letakkan diri kita dalam golongan seperti sabda Nabi SAW ini : 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال:" قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:" رغِم أنف رجلٍ ذُكرت عنده فلم يصلِّ علي" (رواه الترمذي)

Maksudnya: “Terhinalah orang yang di ketika namaku disebutkan padanya, tetapi dia tidak berselawat kepadaku.

وعن حسين بن علي بن أبي طالب رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:" البخيل الذي ذُكرت عنده فلم يُصلِّ عليَّ"( رواه الترمذي)

Maksud: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mengingati dan mencintai Allah SWT dan rasulnya SAW. Sempena bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita ketuk pintu hati kita dan sama-sama kita soal diri kita, sebagai tanda cintanya kita kepada Rasulullah SAW, adakah kita semua telah melakukan perkara-perkara yang dibawa oleh Baginda SAW atau kita masih lagi berdolak-dalik terhadap apa yang dibawa oleh Baginda. Ingatlah firman Allah SWT :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ [٥٩:٧]

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Sekiranya kita betul-betul cintakan Rasulullah SAW, amal dan hidupkanlah sunnah Baginda. Semoga kita tergolong dalam kalangan umatnya yang mendapat syafaat dari Baginda kelak, InsyaAllah.


Salam Cintakan Rasulullah SAW untuk semua.

Afa Al Fasi

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...