Khamis, 15 Mac 2012

Hakikat Bahagia


Bismillahirrahmanirrahim.

Satu Perkongsian: Muhasabah.Tafakur.Islah.

Apa yang kita mahu di dalam hidup?
Mungkin banyak jawapan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bercita-cita.  Rumah besar, kereta besar, isteri cantik, pakaian lawa, suami penyayang, harta banyak, peperiksaan cemerlang dan sebagainya.

Tetapi apabila kita duduk sebentar, berfikir dan meneliti kembali, kita akan melihat betapa keinginan-keinginan tadi hanyalah satu ilusi yang mengabui keinginan sebenar dalam diri kita.Kita inginkan satu perkara bernama kebahagiaan. Mungkin kita akan namakan kebahagiaan ini dengan banyak nama lain seperti ‘selamat’, ‘puas’ dan sebagainya. Tetapi ia akan kembali menjurus kepada satu perkara bernama kebahagiaan. Kita ingin bahagia sebenarnya.Cuba lihat semula kehidupan kita. Apakah kata-kata ini benar, atau palsu semata?


Lompong yang tidak terisi
Terasa di dalam kehidupan kita akan kewujudan satu lompong.  Tetapi kita tidak tahu hendak mengisinya bagaimana.  Kita tidak pasti hendak mengisinya dengan apa.Lantas kehidupan kita mengejar sesuatu tiada henti. Kita buat itu ini tanpa pasti.Kita ingin mengisi lompong itu. Tetapi segala apa yang kita kejari, itu semua tidak mampu mengisi kekosongan itu. Rumah besar, selepas mendapat rumah besar kita rasa sepi. Apa lagi selepas ini? Kereta mewah, selepas kita mendapat kereta mewah kita rasa sunyi. Apa lagi selepas ini? Isteri cantik, suami penyayang, selepas beberapa waktu dan melalui mehnah dan tribulasi, kita akan merasa sendiri. Apa lagi selepas ini? Selepas berjaya di dalam peperiksaan,  masuk ke alam pekerjaan, kita akan merasa kekosongan di dalam diri. Apa lagi selepas ini?

Dan hidup dirasakan tidak bermatlamat. Kosong tanpa arah tujuan. Yang kita ada hanya tujuan-tujuan kecil. Selepas satu tujuan kita melompat ke tujuan lain untuk mengharapkan penerusan.  Tetapi sampai satu waktu, kita akan terhenti dan bertanya kepada diri: “Apa aku lakukan sebenarnya? Apa aku mahu kejar?”
Kerana kita belum bertemu dengan apa yang dinamakan ‘bahagia’.


Matlamat besar dan kepuasan dalam beramal
Untuk manusia yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan, yakni para penumpang bahtera ini, lompong kosong yang terwujud itu, terisi bagi kami.Setiap kerja kita ada matlamatnya. Hatta tidur kita punya matlamatnya. Hal ini kerana semua perkara adalah ibadah selagi mana ia berdiri di dalam lingkungan syara’ dan dilakukan dengan ikhlas. Maka seorang yang mengaku dirinya mukmin sepatutnya bekerja bersungguh-sungguh kerana dia sepatutnya yakin betapa pekerjaannya itu adalah ibadah kepada Allah SWT.

Seorang mukmin akan belajar bersungguh-sungguh kerana Kami yakin betapa pelajarannya itu adalah ibadah  kepada Allah SWT. Begitulah Mukmin. Begitulah kami, penumpang bahtera keimanan ini.
Bahkan, seorang mukmin meyakini betapa matlamat besar wujud di dalam kehidupannya. Yakni akhirat  yang merupakan kampung kepada sekalian manusia nanti.

Memahami hal ini, seorang mukmin mempunyai matlamat dalam segenap kejayaannya. Bekerja bukan untuk manusia. Tetapi untuk menyelamatkan diri kami daripada azab api neraka. Mengumpulkan sahamnya di dunia, bagi menguntungkan diri di akhirat kelak.

Sebab itu sebagai seorang mukmin, tidak pernah bosan melakukan kebaikan, sentiasa berusaha menjalin silaturrahim, dan sentiasa berusaha berkasih sayang dengan semua insan tanpa mengharapkan balasan balas daripada mereka. Hal ini kerana, sebagai seorang mukmin amat memahami, segala apa yang dilakukan adalah untuk Allah SWT, dan untuk menjamin kebahagiaan  di akhirat.

“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” Surah Al-Baqarah ayat 265.

Mengisi kehidupan dengan cara yang sebegini, akan menimbulkan satu perkara di dalam hati insani, yang bernama ‘Kebahagiaan’.

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” Surah Ar-Ra’d ayat 29.

Dan kebahagiaan inilah yang menghasilkan rasa ‘selamat’, ‘tenang’, ‘tenteram’, ‘puas’ dan sebagainya. Memenuhi lompong kosong yang ada di dalam jiwa manusia.

 Kembali kepada Allah, itulah jalannya
Kehidupan itu manis dengan mentaati Allah
Tiadalah Allah ini menurunkan Islam kepada manusia, selain Dia mengetahui betapa manusia memerlukan Islam itu sendiri. Sebagaimana Allah memahami betapa manusia memerlukan manusia juga untuk mengajar mereka agar mereka lebih mudah memahami, begitulah juga Allah  menurunkan Islam kerana Allah mengetahui betapa manusia sangat memerlukan sistem hidup ini untuk menjamin kesejahteraan kehidupan mereka.

Jika kita mengkaji apa yang telah Islam sediakan ini, dengan jalan mencari kebahagiaan yang lain, kita akan melihat betapa Islam mengajak kita mencari kebahagiaan dengan menyeimbangkan kedua-dua aspek: Duniawi mahupun ukhrawi. Dan tiadalah kebahagiaan tertinggi, melainkan kita mencapai kedua-duanya sekali.

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” Surah Al-Qasas.:77.


afa alfasi

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...