توبوا إلى الله توبة نصوحا
Assalamualaikum w.b.t….
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana sehingga ke
saat dan ketika ini, masih lagi diberikan peluang kepada kita untuk bernafas di
bumiNya ini. Satu nikmat yang telah pun luput dari orang-orang yang telah
kembali ke alam barzakh. Tiada apa lagi yang dapat dilakukan oleh mereka yang
telah berada di alam sana. Peluang mereka untuk melakukan segala kebaikan dan
mencegah kemungkaran telah tertutup rapat dan pintu taubat dari Allah SWT yang
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani juga telah pun tertutup untuk mereka.
Segala-galanya telah terpisah dari mereka melainkan tiga perkara sebagaimana
sabda nabi SAW :
عن أبي هريرة، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد
صالح يدعو له
)رواه مسلم)
Maksudnya : Apabila
telah meninggal seorang manusia maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara:
sedekah jariah (terus mengalir) atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang
selalu mendoakannya.
قال الله تعالى :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ
تَوْبَةً نَّصُوحًا (التحريم : 8)
Maksudnya : Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha.
وقال جلّ شأنه :
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (النور: 31)
Maksudnya : Dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya.
Setelah sahabat
semua membaca dua potong ayat di atas, mungkin sahabat-sahabat telah dapat
mengagak apa yang akan dikongsikan oleh insan yang lemah ini. Ya, untuk
muhasabah kita bersama, kita akan melihat sedikit sebanyak apa yang
diperkatakan oleh ulama’-ulama’ kita –radiallahu ‘anhum- mengenai taubat.
Taubat ialah
kembali daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT kepada melakukan ketaatan
kepadanya. Sebesar-besar taubat ialah bertaubat daripada kekufuran kepada
kembali beriman dengan Allah SWT. Firman Allah SWT:
قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ
لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ ( الأنفال: 38)
Maksudnya: Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti
(dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu.
Kemudian, martabat taubat yang kedua ialah bertaubat dari melakukan
dosa-dosa besar dan martabat yang ketiga ialah bertaubat dari dosa-dosa kecil.
Taubat adalah wajib
bagi setiap dosa yang telah dilakukan oleh makhluk yang bergelar manusia.
Sekiranya maksiat itu antara seorang hamba dan Allah SWT, yakni tidak ada
sangkut paut dengan hak-hak manusia, maka baginya tiga syarat:
1.
Hendaklah ia menjauhi dari maksiat tersebut
2.
Menyesali atas dosa yang telah dilakukan
3.
Dan berazam tidak akan kembali melakukan dosa tersebut buat
selama-lamanya.
Sekiranya tiada
salah satu daripada syarat di atas, maka taubatnya tidak sah dan tidak
diterima.
Sekiranya maksiat
yang dilakukan oleh seseorang itu bersangkut paut dengan manusia lain, yakni
antara seorang hamba dengan hamba yang lain, maka terdapat empat syarat yang
telah digariskan iaitu:
1.
Hendaklah ia menjauhi dari maksiat tersebut
2.
Menyesali atas dosa yang telah dilakukan
3.
Dan berazam tidak akan kembali melakukan dosa tersebut buat
selama-lamanya.
4.
Meminta maaf atau meminta redha (halal) kepada orang yang kita telah
berbuat dosa terhadapnya atau bayar semula ganti rugi atau pulangkan barang
yang telah diambil.
Akan tetapi
terdapat lima syarat umum yang telah
ditetapkan oleh ulama’ :
- Ikhlas kerana Allah SWT. Iaitu taubat yang dilakukan oleh seseorang hamba itu hanyalah untuk Allah SWT, dengan penuh keikhlasan kepadaNya, bukan dengan penuh kepura-puraan kepada Allah SWT, dan bukan juga kerana manusia dan lain-lain.
- Menyesal terhadap segala maksiat yang telah dilakukan. Rasa penyesalan yang terbit dan timbul dari diri seseorang hamba menunjukkan diri benar-benar serius dengan taubatnya dan menyesali terhadap segala kesalahan yang telah dilakukannya pada masa yang lampau.
- Menghindari dari melakukan maksiat tersebut. Seorang hamba yang benar-benar ingin bertaubat dan kembali kepada Allah SWT hendaklah meninggalkan segala maksiat yang telah dilakukan dahulu. Sebagai contoh, jikalau seseorang itu lalai terhadap kewajipannya dalam mengeluarkan zakat, maka dia perlulah melakukan rukun islam yang keempat itu setelah bertaubat kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang itu lalai dalam berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya, maka dia wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapanya setelah kembali kepada Allah SWT. Dan sekiranya dia seorang pemakan riba atau sentiasa melakukan muamalat yang mengandungi unsur riba, maka wajib ke atasnya meninggalkan dan menjauhi segala muamalat yang mengandungi unsur-unsur riba.
Perlu
diingat, sekiranya seseorang itu benar-benar ingin meninggalkan dosa yang telah
dilakukannya, maka tidak perlulah dia menceritakan kemungkaran yang telah
dilakukannya kepada orang lain. Cukuplah Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak
perlu digembar-gembur dan diceritakan kepada orang lain. Sesungguhnya Allah
telah menutup kesalahan yang telah lakukannya daripada pengetahuan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW :
عن أبي هريرة يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول كل أمتي معافى
إلا المجاهرين وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا ثم يصبح وقد ستره الله عليه
فيقول يا فلان عملت البارحة كذا وكذا وقد بات يستره ربه ويصبح يكشف ستر الله عنه . )رواه البخاري(
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: setiap
umatku selamat (dari pembicaraan manusia) kecuali mereka orang-orang yang
menampakkan secara terang-terangan, dan sungguh termasuk dalam aktiviti
menampakkan secara terang-terangan adalah ketika seseorang melakukan maksiat di
malam hari, dan di pagi harinya Allah SWT telah merahsiakannya, namun kemudian
dia berkata: wahai si fulan, malam tadi, aku telah melakukan ini dan itu. Sungguh
di malam harinya Allah SWT telah merahsiakannya, namun di pagi harinya ia membuka
rahsia tersebut.
Sekiranya
dosa yang dilakukan itu ada kaitan dengan saudaranya yakni antara hamba dengan
hamba yang lain:
1.
Mengambil barang atau harta saudaranya yang lain, maka tidak dapat tidak
dia perlu mengembalikan barang tersebut kepada pemiliknya. Taubatnya tidak akan
diterima selagi mana dia tidak mengembalikan barang atau harta tersebut kepada
pemiliknya.
2.
Adapun maksiat yang dilakukan berupa pukulan atau seumpama dengannya,
perlulah mendapatkannya (pergi kepadanya) dan mengizinkan agar dia memukul
seperti mana anda memukulnya. Sebagai contoh, sekiranya pukulan tersebut di
kepala, maka dia berhak memukul di tempat yang sama iaitu kepala. Firman Allah
SWT :
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ
Maksudnya : Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan
sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya.
3.
Sekiranya dosa tersebut melalui kata-kata seperti mencaci dan mencela, maka
perlulah berjumpa dengan orang yang dicaci itu dan meminta halal atas apa yang
telah berlaku.
4.
Sekiranya dosa mengumpat, ulama’ telah berselisih pendapat tentang hal
ini :
-
Perlu pergi mendapatkannya dan memberitahunya : wahai si fulan, aku
telah bercakap mengenaimu di depan khalayak ramai.
-
Perlu pergi mendapatkannya dan meminta halal darinya atas perbuatan
mengumpat yang telah dilakukan sekiranya dia mengetahui tentang umpatan
tersebut; jika dia tidak mengetahui tentang umpatan tersebut, tidak perlu
mendapatkannya, akan tetapi, mohonlah keampunan untuknya dan ceritalah tentang
kebaikannya di tempat yang sama iaitu tempat anda bercakap mengenai
keburukannya (mengumpat tentangnya).
- Berazam tidak akan melakukan maksiat tersebut pada masa akan datang. Sekiranya masih terdetik dan terniat di hati untuk melakukan dosa tersebut, maka taubat yang dilakukan tidak sah dan tidak diterima.
- Bertaubat pada masa atau waktu yang diterima taubat iaitu:
-
Tidak dapat tidak taubat tersebut perlu dilakukan sebelum datangnya ajal
yakni sebelum mati. Sekiranya seseorang bertaubat setelah datang ajalnya, maka
taubatnya tidak bermanfaat sedikit pun untuknya. Firman Allah SWT dalam surah
An-Nisa’ ayat 18:
وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ
السَّيِّئَاتِ حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْآنَ
Maksudnya :
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada
orang-orang yang
selalu melakukan kejahatan, hingga
apabila salah seorang dari mereka
hampir mati,
berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,"
(sedang
taubatnya itu sudah terlambat)
-
Sebelum datangnya kiamat. Sabda Rasulullah SAW :
أن الهجرة لا تنقطع حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس
من مغربها . (أخرجه
أبو داود)
Maksudnya:
Hijrah tetap akan berlangsung selama pintu taubat belum ditutup, sedang
pintu taubat tidak akan ditutup sebelum matahari terbit dari barat.
Ingatlah wahai
sahabat sekalian, siapalah kita di muka bumi. Tiada satu pun milik
kita. Semuanya milik Allah. Mengapakah kita berlaku bongkak dan sombong
sehinggakan susah untuk kita mengucapkan istighfar kepadanya.
Renungilah hadis ini :
عن أبي هريرة رضي الله عنه
قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: والله إني لأستغفر لله، وأتوب إليه،
في اليوم أكثر من سبعين مرة )رواه البخاري(
Maksudnya : Demi Allah sesungguhnya
aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.
Dan hadis ini :
وعن الأغر بن يسار المزني
رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا أيها الناس توبوا إلى الله
واستغفروه فإني أتوب في اليوم مائة مرة )رواه مسلم(
Maksudnya : Wahai manusia, bertaubat dan
beristighfarlah kalian kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam
sehari sebanyak 100 kali.
Inilah nabi kita, Muhammad SAW, tetap memohon keampunan
kepada Allah SWT walaupun Allah telah mengampunkan segala dosa baginda sama ada
dosa yang telah lepas atau dosa yang akan datang. Juga seorang insan yang telah dijanjikan
syurga oleh Allah SWT.
Siapalah
kita dibandingkan dengan Rasulullah SAW. Seorang hamba yang sentiasa melakukan
dosa kepadaNya. Tiada apa yang kita harapkan dalam hidup ini melainkan rahmat
dan keampunan Allah SWT dan juga syafaat Nabi Muhammad di mahsyar kelak.
Moga Allah
SWT mengampuni dosa-dosa yang telah kita lakukan. Jangan berputus asa
dalam mencari redha Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah SWT amat mengasihi dan
mengampuni dosa hamba-hambanya.
dipetik dari kitab : رياض الصالحين
0 comments: