Bagaimana Selepas Ramadhan? (Siri Kedua)
[ Bersegera Untuk Tunai Solat Fardhu ]
Selepas Ramadhan pun kita seharusnya
memakmurkan masjid-masjid khususnya pada waktu solat subuh bahkan kita mesti
berlumba-lumba untuk memenuhkan saf yang pertama. Namun apa yang berlaku amat
menyedihkan. Kemana menghilangnya mereka-mereka yang pernah memenuhkan masjid
di dalam dan perkarangan masjid? Mengapa mereka tidak solat subuh berjemaah
lagi?
Saudaraku yang dikasihi kerana Allah,
Jangan sekali-kali kita mencipta jawapan
untuk membalas balik pertanyaan ini. Kita bangun seawal pagi di bulan Ramadhan
kerana ingin bersahur supaya dapat menahan letih di siang hari sedang Nabi
Muhammad SAW bersabda : “ Bersahurlah kalian semua kerana padanya ada
keberkatan ”.
Siapakah yang mengejutkan kita
sebenarnya di awal pagi? Tentu sekali ‘sahur’ yang mengejutkan kita. Maka
apakah kita tidak lagi bangun seawal pagi kerana sesudah Ramadhan kita tidak
lagi dituntut bersahur?
Alangkah ruginya kita setelah mata kita
begitu senang untuk celik dan tubuh semakin mudah untuk bangkit seawal pagi
untuk bersahur di bulan Ramadhan, tiba-tiba kita memanjakan diri kita semula
untuk bangun seawal pagi. Sepatutnya yang mengejutkan kita seawal pagi adalah
‘solat subuh’ bukan sahur yang hanya tertumpu di bulan Ramadhan sahaja sedang
solat subuh itu sehingga hujung nyawa.
Motivasi yang pernah diucapkan oleh
Baginda Nabi Muhammad SAW : “ Barangsiapa yang solat isya secara berjemaah
seumpama dia melakukan solat separuh malam, dan barangsiapa yang solat subuh
secara berjemaah seumpama dia melakukan solat sepenuh malam ”.
[ Hari Kemenangan ]
Adakah Syawal yang kita rai ini untuk
mereka yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau untuk mereka yang tidak solat
sunat teraweh atau pun untuk mereka yang tidak pernah mendekatkan diri dengan
Allah?
Sekali-kali tidak!!
Hari kemenangan ini adalah semata-mata
untuk mereka yang berpuasa dengan penuh taat, membaca Quran dengan penuh
khusyuk, dan melakukan solat teraweh sepenuh ikhlas serta mereka yang
membanyakkan kebajikan pada bulan Ramadhan.
Oleh yang demikian kita sepatutnya
bergembira dengan ketibaan hari yang bertuah ini.
[ Memelihara Ketaatan ]
Kita semua diumpakan seperti mereka yang
melakukan haji ke Baitillah. Pergi ke Mekah dengan penuh dosa dan kembali ke
desa permai dalam keadaan dosa terampun. Maka berhati-hati dalam setiap tindak
tanduk kita supaya buku catatan amal kita senantiasa bersih daripada terpalit
dengan dosa.
[ Segala Perbuatan Mesti Mengikut Niat ]
Barangsiapa yang bersusah payah di dunia
dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT dia akan
merasai kerehatan yang sebenar di akhirat kelak serta menikmati Syurga yang
kekal abadi. Imam Hassan al Basri r.a pernah menyebut beberapa kalimat yang
masyhur : “ Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kerehatan kepada orang
mukmin kecuali di dalam Syurga ”.
Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan
sepenuh hati, taatilah perintahNya serta tahanlah diri kita daripada menyakiti
sesama Islam. Lidah begitu mudah menutur kata akan tetapi pastikan ianya
bermanfaat untuk Islam. Begitu juga langkahan kaki dan hayunan tangan kita
pastikan bahawa pergerakan itu mampu memberi saham dalam neraca amalan kebaikan
buat kita. Insya Allah.
Saudaraku yang dicintai kerana Allah,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan
menghitung amalan kita seharian agar kita tidak termasuk dalam golongan yang
dimurkai oleh Allah SWT. Umur semakin berkurang sedang amalan tidak bertambah.
Di kala peluang yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
ini, gunakanlah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan syukur atas segala nikmat
dan bertaubat atas segala maksiat yang dilakukan secara sengaja atau tidak.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
0 comments: